Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bahrain Institute of Banking and Finance (BIBF) dan memorandum perjanjian (MoA) dengan The Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) di Manama, Bahrain pada 30 November 2023. Foto Facebook Universiti Islam Selangor
AGENSISELANGOR

UIS meterai perjanjian dengan institusi kewangan, perakaunan Bahrain, teroka pelbagai bidang

SHAH ALAM, 2 DIS: Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan institut perbankan dan kewangan dari Bahrain berkait kerjasama pengendalian kursus profesional bidang berkaitan.

Perjanjian bersama Bahrain Institute of Banking and Finance (BIBF) dan Pusat Penyelidikan Antarabangsa bagi Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF) UIS meliputi kerjasama penerokaan program pembinaan kapasiti, syarahan awam, persidangan dan latihan bersama.

Menurut Bahagian Komunikasi Korporatnya turut dimeterai menerusi IRCIEF UIS adalah memorandum perjanjian (MoA) dengan badan pengauditan dan perakaunan Bahrain, The Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI).

“MoA itu membabitkan kerjasama UIS menjadi ahli gabungan badan itu dan sebagai pusat pendaftaran calon bagi program AAOIFI,” katanya menerusi Facebook.

Menurut UIS, kedua-dua perjanjian itu ditandatangani pada 30 November lalu di Manama, Bahrain.

“Majlis menandatangani MoA dengan AAOIFI diadakan ketika Persidangan Perbankan dan Kewangan Islam Tahunan AAOFI-IsDB ke-18 dianjurkan pertubuhan itu manakala MoU dengan BIBF ditandatangani di pejabat BIBF,” katanya.

UIS sebelum ini memeterai beberapa MoU dan MoA dengan pusat pengajian tinggi serta penggiat industri termasuk dari negara luar dalam pelbagai bidang antaranya kebolehpasaran graduan, dana industri halal dan kewangan Islam.


Pengarang :