Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan penyerahan cek cura sumbangan wakaf fisabililah baik pulih dan ubah suai premis oleh Perbadanan Wakaf Malaysia kepada Persatuan Kanser KanWork ketika majlis perasmian pusat sokongan pesakit kanser, Rumah KanWork di Damansara Utama, Petaling Jaya pada 13 Disember 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Wakaf Selangor sumbang RM50,000 wakaf fisabilillah kepada Persatuan Kanser KanWork

SHAH ALAM, 14 DIS: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan sumbangan RM50,000 wakaf fisabilillah kepada Persatuan Kanser KanWork.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Anuar Hamzah Tohar berkata sumbangan itu bertujuan untuk baik pulih dan ubah suai premis bagi keselesaan penghuni rumah KanWork.

“Sumbangan ini sebahagian inisiatif sumbangan fisabilillah PWS dalam mengoptimakan penyaluran wakaf dengan menyantuni institusi keagamaan, pendidikan dan kesihatan.

“PWS berterima kasih kepada pewakaf yang mewakafkan rumah itu melalui Perbadanan Wakaf Selangor dan Persatuan Kanser KanWork menerima manfaatnya,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut mempelawa orang ramai untuk melaksana wakaf tunai bersama PWS atau melayari Wakaf Selangor Online https://fpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp DuitNow QR

Semalam, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan pusat sokongan pesakit barah, Rumah KanWork di Damansara Utama.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan melancar buku Dari Dapur KanWork terbitan pusat terbabit, berkisar kepentingan aspek pemakanan sepanjang proses penyembuhan pesakit.

Baginda yang juga Penaung Diraja KanWork berkenan menerima cek cura wakaf fisabilillah RM50,000 daripada PWS untuk disalurkan kepada Persatuan Kanser KanWork.

Sebelum ini, PWS mengagihkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM1.2 juta kepada 31 institusi seluruh negeri ini sehingga Ogos lalu.

Institusi itu membabitkan masjid, surau, sekolah, hospital dan surau di bangunan Jabatan Agama lslam Selangor (Jais) bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan.


Pengarang :