EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail berucap ketika majlis perasmian Karnival Ban Canal 2023 di Parit 14, Sabak Bernam pada 10 Disember 2023. Foto: FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Wakil rakyat, ahli politik diminta elak keluar kenyataan timbulkan kegusaran awam

SHAH ALAM, 31 DIS: Wakil rakyat serta pimpinan politik diminta lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan mewakili parti terutama berkait Perlembagaan.

EXCO perpaduan berkata tindakan itu penting bagi mengelakkan kegusaran awam memandangkan keadaan sosial dan realiti politik ketika ini.

“Ini sangat penting untuk mengelakkan kegusaran awam khususnya orang Melayu terkait dengan jaminan status quo seperti dalam Perlembagaan dan undang-undang tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia khususnya di Selangor untuk sama-sama menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan terus menghormati keluhuran Perlembagaan,” kata Datuk Rizam Ismail menerusi kenyataan.

Beliau berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mempunyai kebijaksanaan dan kepakaran berhubung undang-undang Islam.

Kelmarin, Baginda bertitah mengingatkan semua rakyat termasuk pemimpin bukan Islam agar tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam di Malaysia.

Titah Baginda susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham agar pakar bukan Islam dilantik untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Baginda bertitah bahawa MKI memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam serta dianggotai oleh pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.


Pengarang :