Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron berucap ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Pangsapuri Seri Nipah, Subang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Batu Tiga hasrat perkenal geran pendidikan tahunan

SHAH ALAM, 28 DIS: Wakil rakyat Batu Tiga bakal memperkenal geran pendidikan tahunan bermula tahun depan kepada semua institusi pendidikan di kawasan itu.

Danial Al-Rashid Haron berkata cadangan itu bagi menumpu kepada pembangunan pendidikan selain menjalin hubungan baik dengan sekolah.

Beliau berharap kertas kerja yang akan dibentang menerusi permohonan geran tersebut dilaksanakan sendiri oleh pelajar terlibat.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini kita ada 15 sekolah sahaja dan saya bercadang untuk sediakan 15 geran tahunan supaya mereka dapat adakan pelbagai program menarik.

“Saya juga berharap kertas kerja dapat dibentangkan sendiri oleh pelajar supaya mereka diberi pendedahan awal selain ini juga cara merapatkan hubungan antara belia dengan pihak kami,” katanya kepada Selangorkini.

Danial juga berikrar untuk terus memantau setiap perkembangan projek yang sedang dan akan dilaksanakan di DUN berkenaan khususnya projek tebatan banjir.

Selain itu, katanya, pelaksanaan projek pembangunan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) di Seksyen 16 juga dijangka memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Setakat ini kita sudah bertemu dengan semua agensi pelaksana dan kita akan pastikan setiap projek yang sedang dan akan dibuat dapat disempurnakan dengan baik,” katanya.

Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan projek pembangunan SAILH di atas tapak seluas 28.73 hektar dengan nilai pelaburan RM2 bilion.

Ia dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2028, dengan fasa pertamanya dijangka siap pada 2025.


Pengarang :