Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz menyantuni pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dusun Tua di Taman Wangsa, Cheras pada 24 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat guna media sosial hebah bantuan Kerajaan Negeri

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 26 DIS: Wakil rakyat Dusun Tua menggunakan media sosial untuk menghebahkan program bantuan Kerajaan Negeri termasuk aktiviti menyantuni masyarakat di kawasan itu.

Datuk Johan Abdul Aziz menjelaskan kaedah itu dipilih berikutan platform berkenaan lebih pantas menyebarkan maklumat, sekali gus membantu lebih ramai masyarakat mendapat manfaat.

“Kerajaan Negeri menyusun 47 program bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang memberi manfaat kepada rakyat dan menumpukan usaha meringankan beban kumpulan pendapatan rendah (B40).

“Sebagai wakil rakyat, saya akan gunakan semua medium media sosial selain Pusat Khidmat Masyarakat Dusun Tua bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut meminta golongan muda yang mahir teknologi untuk membantu menyampaikan maklumat berkaitan ISP kepada ibu bapa atau masyarakat sekeliling yang tidak mempunyai akses.

Mengulas perancangan tahun depan, Johan berkata pihaknya akan menumpukan usaha menambah baik
infrastruktur jalan raya bagi mengurangkan kesesakan di kawasan Dusun Tua.

“Saya sentiasa cakna aduan penduduk termasuk membawa isu itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor dan berbincang bersama Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Kajang,” katanya.

 

 


Pengarang :