MPK dan JPS menaik taraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Taman Melawis, Klang pada 17 Mei 2023. Foto Majlis Perbandaran Klang
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Pandamaran ajak penduduk jaga kebersihan, elak banjir kilat

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 24 DIS: Projek naik taraf saliran dan tebatan banjir di Taman Melawis dijangka siap April tahun depan, kata wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee.

Inisiatif yang membabitkan kos RM20 juta itu dapat meredakan kebimbangan penduduk berhubung isu banjir kilat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Bagaimanapun, Tuck Chee juga menyeru penduduk agar sama-sama menjaga kebersihan dengan tidak sewenang membuang sampah ke dalam longkang bagi mengelak gangguan sistem perparitan.

“Pelbagai usaha telah dijalankan termasuklah inisiatif projek naik taraf saliran dan tebatan banjir di Taman Melawis dengan kos bernilai RM20 juta yang masih berjalan dan dijangka siap pada April tahun hadapan.

“Namun apa yang lebih penting adalah sikap kerjasama semua penduduk Pandamaran dengan tidak sewenangnya membuang sampah di longkang atau parit.

“Kebersihan di DUN ini bukan sahaja bagi mengelakkan banjir kilat berlaku tetapi sebagai tanggungjawab menjadikan Pandamaran bandar yang sihat dan indah tanpa sampah sarap,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Tuck Chee pihaknya juga berhubung rapat dengan pihak berkaitan sekiranya berlaku banjir kilat terutama di sekitar Jalan Mohd Yamin; Taman Chi Liung, Klang; Taman Chi Liung, Pandamaran; Taman Bayu Perdana; Taman Melawis dan Jalan Sekolah Pelabuhan Klang.


Pengarang :