Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kiri) bersama wakil rakyat Lembah Jaya Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet menyampaikan bantuan tunai kepada mangsa kebakaran di Lembah Jaya Utara, Ampang pada 7 Disember 2023. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Warga emas terharu MBI, wakil rakyat tampung kos, bantu baiki rumah

AMPANG JAYA, 7 DIS: Seorang warga emas terharu dan bersyukur atas keprihatinan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memberi sumbangan bagi membaiki rumahnya yang musnah dalam kebakaran April lalu.

Roslin Sulong, 74, berkata bantuan wang tunai sejumlah RM3,000 akan meringankan beban beliau dan keluarga yang terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk proses membaik pulih kediaman.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak MBI atas sumbangan wang tunai termasuk wakil rakyat kawasan saya, Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet yang akan turut bersama membantu proses kerja membaik pulih rumah ini.

“Sumbangan kedua-dua pihak memberi sedikit kelegaan buat saya memandangkan saya sudah tidak bekerja dan mempunyai pendapatan,” katanya pada program penyerahan sumbangan di sini hari ini.

Menceritakan kejadian jam 5.30 petang, 25 April lalu, Roslin berkata ketika itu beliau berada di rumah anaknya yang tinggal bersebelahan bagi menemani cucu bermain di halaman.

“Tiba-tiba jeritan daripada anak beritahu rumah saya terbakar dan saya terus berlari menuju ke rumah saya.

“Memang tak sempat nak selamatkan banyak barang kerana kejadian berlaku terlalu cepat. Api telah merebak yang datang dari bengkel kereta sebelah rumah saya dilanda kebakaran,” katanya yang tinggal bersama isteri.

Sementara itu, Altimet berkata seramai 12 sukarelawan di bawah Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya akan membantu kerja baik pulih rumah tersebut bermula hujung minggu ini.

“Insya-Allah dengan bantuan wang tunai dari pihak MBI ini akan mempercepatkan lagi usaha kami melibatkan 12 anak muda bagi menjalankan kerja baik pulih seperti cat, penukaran atap zink rumah serta kawasan yang terjejas teruk.

“Tenaga kerja daripada mereka akan menjimatkan perbelanjaan baik pulih mangsa. Pak Cik Roslin boleh menumpukan perbelanjaan untuk alatan baiki rumah dan perabot yang telah musnah,” katanya.


Pengarang :