Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbani (duduk, kiri) bergambar bersama peserta pada majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Zakat Selangor rai kejayaan 44 asnaf dalam pendidikan, perniagaan

SHAH ALAM, 3 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan 44 asnaf yang berjaya dalam pendidikan dan perniagaan pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2023 di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbani berkata program itu memberi motivasi kepada mereka yang juga penerima zakat untuk terus berjaya dalam bidang masing-masing.

“Sebagai contoh 5,900 di kalangan anak asnaf yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibantu LZS dan hampir 10 peratus mencapai keputusan 5A.

“Dalam bidang perniagaan, beberapa individu asnaf yang dibantu LZS berjaya mencapai prestasi baik dan keluar dari golongan asnaf, kini membantu LZS dengan mengeluarkan zakat perniagaan,” katanya ditemui pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2023 di Hotel Mardhiyyah di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbani ditemui pada majlis Anugerah Asnaf Cemerlang di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 3 Disember 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada majlis itu 31 pelajar asnaf menerima Anugerah Pelajar Cemerlang kerana memperoleh pencapaian membanggakan dalam peperiksaan.

Mereka terdiri daripada enam orang yang mendapat keputusan cemerlang 10 dan 11A dalam SPM sementara 10 pelajar lagi menerima Anugerah Cemerlang Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM).

Seramai 12 orang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), tiga mahasiswa menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan Anugerah Mahasiswa Mualaf Cemerlang.

Selain itu, empat bekas asnaf yang berjaya dalam perniagaan masing-masing dipilih menerima Anugerah Usahawan Mualaf Cemerlang dan Anugerah Usahawan Berjaya.

LZS turut mengiktiraf kejayaan tujuh orang mualaf yang mencapai skor 100 peratus dalam ujian kefahaman fardhu ain dan fardhu kifayah dalam program pembangunan dan bimbingan kepada mualaf anjuran agensi itu sepanjang 2023.

Pencapaian tujuh mualaf dalam ujian itu membolehkan mereka menerima Anugerah Had Ta’lif yang pertama kali diperkenalkan.

Penerima anugerah menerima insentif wang tunai, plak dan sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka.


Pengarang :