Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Dato’ Mohd Yazid Sairi (tengah) bergambar bersama 22 ahli majlis selepas angkat sumpah jawatan di Menara MPS pada 18 Januari 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

22 ahli majlis MPS angkat sumpah jawatan penggal 2024-2025

GOMBAK, 18 JAN: Seramai 22 ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) penggal 2024-2025 termasuk dua muka baharu mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Yang dipertuanya berkata kuota jawatan itu diisi Orang Besar Daerah Gombak Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh, 12 dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), DAP (lima) dan Amanah (empat).

“Seramai 20 orang disambung semula, dua adalah lantikan baharu dari Amanah. Terdapat dua ahli majlis masih belum dilantik kerana MPS masih menunggu senarai nama dari Kerajaan Negeri.

“Harapan saya kepada ahli majlis jadi penghubung antara masyarakat dengan MPS dan Kerajaan Negeri untuk atasi isu berbangkit dalam kalangan penduduk di setiap zon,” kata Dato’ Mohd Yazid Sairi.

Terdahulu beliau menyaksikan upacara angkat sumpah berkenaan di Menara MPS di sini.

Upacara melafazkan ikrar ahli majlis dan terima pelantikan di hadapan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Dato’ Mohd Yazid Sairi selepas angkat sumpah jawatan di Menara MPS pada 18 Januari 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Ketua whip ahli majlis mewakili DAP berkata beliau fokus untuk mengatasi masalah pembuangan sampah dan baik pulih infrastruktur dewan dan padang permainan di Selayang.

“Kita akan kerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk tempatkan 100 lori kompaktor baharu di Selayang termasuk kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk atasi isu sampah,” kata U Chin Ong.

Beliau menambah semua ahli majlis bawah Kerajaan Perpaduan diminta untuk bekerja kuat dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Kita perlu bekerja keras untuk bangunkan Selayang untuk yakinkan pengundi yang telah menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN). Wakil rakyat pembangkang telah bertambah akan menjadi semak dan imbang terhadap Kerajaan Negeri.

“Saya yakin semua ahli majlis gabungan HARAPAN-BN dapat bekerjasama memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. DAP dan KEADILAN telah serah satu kerusi (ahli majlis) buat Umno untuk melengkapkan pelantikan ahli majlis MPS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Whip MPS mewakili Amanah, K Thanabal berkata beliau akan menumpukan isu kerosakan jalan raya di kawasan Selayang.

“Terdapat tujuh laluan untuk pelaksanaan projek kuari yang menjadi laluan kenderaan berat di Selayang. Saya akan berusaha untuk atasi isu kerosakan jalan ini.

“Saya juga berikrar memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat di Selayang dengan menggunakan pengalaman selama tiga penggal berkhidmat sebagai ahli majlis MPAJ sebelum ini,” katanya.


Pengarang :