Faridah Khalid dan suaminya Wan Ahmad Fuad Wan Abd Aziz menunjukkan produk hiliran jenama Kelulut Kasih yang dihasilkan mereka ketika ditemu bual Selangorkini pada 16 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

300 sarang kelulut bawa rezeki, wanita dinobat ikon tani

Bimbang tiada pendapatan bulanan selepas bersara, Faridah Khalid, 61, menceburi perniagaan madu kelulut.

Dia mendapat idea apabila ternampak sarang kelulut di halaman rumah bapa saudara di Kuantan, Pahang.

Bermodal RM30,000, ibu sembilan anak itu memulakan projek menternak kelulut dengan bantuan suami Wan Ahmad Fuad Wan Abd Aziz, 64, pada September 2016.

Selepas tujuh tahun, usahanya membuahkan hasil. Anak jati Petaling Jaya itu kini memiliki 300 sarang di Kampung Seberang di Dusun Tua, Hulu Langat dan Pusat Flora Cheras yang menghasilkan lebih 800 kilogram (kg) madu asli setahun.

Selain menjual madu tersebut, beliau juga menghasilkan 13 produk hiliran atas jenama Kelulut Kasih seperti minuman, sabun muka, sabun badan dan minyak propolis.

Menerima pelbagai pengiktirafan, Faridah dinobat sebagai Ikon Agro Selangor 2022 yang disampaikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim pada 31 Oktober 2023.

Faridah Khalid menunjukkan cara mengendalikan sarang kelulut ketika ditemu bual Selangorkini pada pada 16 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Kurang ilmu

Mengimbau tempoh awal sebagai usahawan tani, Faridah berkata segalanya bermula selepas mengakhiri perkhidmatan 33 tahun dalam sektor perbankan melalui skim pemberhentian sukarela.

Beliau kemudian menternak kelulut di kawasan rumah dengan 30 sarang di Kampung Seberang.

“Dua dunia yang betul-betul berbeza, orang kata perubahan 360 darjah. Bila tengok kelulut ini beri saya ketenangan,” kata Faridah kepada Selangorkini pada 16 November tahun lalu.

Menyedari dirinya kurang ilmu, Faridah mendapat khidmat nasihat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Universiti Malaysia Terengganu.

Ketika itu, tidak banyak agensi kerajaan yang boleh membimbing kerana kajian penternakan kelulut masih kurang.

Nasib Faridah baik. Ada kenalan yang mahir penternakan kelulut sudi memberi tunjuk ajar.

“Bila datang seorang ‘otai’ ternak kelulut, barulah tahu rupanya cara pindahkan telur kelulut salah, tak ada ratu kelulut menyebabkan kelulut tinggalkan sarang,” katanya.

Selepas enam bulan, barulah Faridah memperoleh tuaian pertama, walau terlalu sedikit. Setahun kemudian, beliau berdepan pula masalah cuaca panas.

Keadaan itu tidak sesuai untuk kelulut untuk menghasilkan madu dan diburukkan lagi kebakaran kecil di hutan berhampiran, menyebabkan hasil kurang 10kg setiap kali tuai.

Pada 2018, tuaian madu meningkat dari 60kg pada awal tahun hingga mencecah lebih 100kg sekali tuai. Pada tahun itu, mereka memperoleh lebih 400kg madu.

Usaha Faridah mendapat perhatian Jabatan Pertanian Selangor. Dia menerima geran menambah aset seperti kabin, peti penyejuk, peti sejuk beku, mesin pengering, pendingin hawa, kabinet, meja tahan karat dan pam madu.

Penternakan kelulut Faridah turut menerima pensijilan halal, Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) dan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

Bagi menambah pengetahuan, Faridah menyertai pelbagai kursus dalam talian dengan organisasi luar negara yang maju dalam ternakan serangga berkenaan.

Madu dijual RM350 sekilo dan produk hiliran keluaran Kasih Hulu Langat Enterprise itu dipasarkan dalam talian dan jualan di ladang.

Ia membolehkan Faridah dan suami meraih jualan antara RM6,000 hingga RM8,000 sebulan, sekali gus menarik nafas lega kerana masih ada pendapatan walau bersara.


Pengarang :