AGENDAJENAYAH

45 ditahan terlibat jualan dadah di pangsapuri di Klang

KLANG, 24 JAN: Polis Klang Utara melakukan 45 tangkapan daripada 40 kes berkaitan dadah di sekitar kawasan Pangsapuri Rebana, Bandar Bukit Raja dekat sini, sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao berkata pihaknya mengesan tersebarnya satu hantaran dalam Facebook baru-baru ini berkenaan luahan penduduk yang tidak berpuas hati terhadap pihak berkuasa ekoran aktiviti penjualan dadah di pangsapuri terbabit.

“Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara telah mengambil tindakan dengan membuat serbuan dan tangkapan melalui beberapa kali ‘Op Tapis Khas’ dan ‘Op Tapis Harian’ pada tahun lepas dengan sebanyak 40 kes dan 45 tangkapan dibuat di sekitar kawasan itu,” katanya.

Malah, beliau berkata bermula 1 Jan hingga semalam, sebanyak tujuh serbuan dan tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Utara terhadap penagih dan pembekal di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama.

“Polis masih giat menjalankan operasi dan pemantauan di sekitar kawasan itu hingga hari ini bagi memastikan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibanteras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata sehingga kini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana pihak berkenaan maklumat terdapat pengadu yang diancam dan tayar kenderaannya dibocorkan oleh pengedar atau penagih dadah di kawasan terbabit.

“Pihak IPD Klang Utara memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk menghubungi terus mana-mana balai polis berdekatan atau Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Klang Utara bagi menyalurkan maklumat yang tepat,” katanya.

Sementara itu, IPD Klang Utara hari ini menjalankan majlis pelupusan barang di Balai Polis Kapar di sini, antaranya melibatkan barang kes perjudian, kontraban, bitcoin, barang berharga dan wang tunai meliputi nilai keseluruhan RM1.58 juta bagi kes sepanjang 2021 hingga tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohd Khairi Shafie berkata jumlah kes jenayah di Klang Utara didapati meningkat kepada 877 kes pada tahun lepas berbanding 816 kes yang dicatatkan pada 2022.

“Kebanyakan kes membabitkan jenayah pecah rumah, kes samun dan curi kenderaan. Kita mendapati pertambahan penduduk yang seiring dengan tahap pembangunan di Klang turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah di sini,” katanya.

Susulan itu, Mohd Khairi berkata IPD Klang Utara dan IPD Klang Selatan sedang melaksanakan Op Aman bermula minggu lepas yang berlangsung selama tiga minggu sebagai langkah pencegahan jenayah berkenaan.

“Kebanyakan kes didapati dilakukan suspek tempatan yang tinggal di kawasan ini dan mempunyai rekod jenayah … Op Aman ini turut dilakukan bagi mengesan dan menahan suspek yang terlibat,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :