Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Azmi (tengah) menyerahkan kelengkapan sekolah kepada pelajar ketika melancarkan Sumbangan Bantuan Persekolahan TAWAS di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Serdang, Subang Jaya pada 13 Januari 2024. Foto Facebook Abbas Azmi – Official
ADNSELANGOR

500 pelajar B40 di DUN Seri Serdang terima bantuan kembali ke sekolah

SHAH ALAM, 23 JAN: Seramai 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menerima bantuan kembali ke sekolah.

Wakil rakyatnya Abbas Azmi berkata bantuan berkenaan diagihkan secara berperingkat kepada mereka berkelayakan sejak minggu lalu.

“Kita mengagihkan bantuan persekolahan ini berdasarkan data Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan agihan dilakukan sejak minggu lalu kepada 100 penerima.

“Bagaimanapun, mereka yang memerlukan boleh datang ke pejabat pusat khidmat masyarakat untuk memohon bantuan persekolahan,” katanya dihubungi.

Mengulas mengenai perancangan tahun ini, beliau memaklumkan pihaknya memfokuskan beberapa isu besar antaranya status pengukuran semula Kampung Seri Aman yang membabitkan 400 keluarga.

“Isu ini telah mencapai 60 peratus dan dijangka selesai tahun ini juga. Selain itu, satu penyelesaian jangka masa pendek dan panjang juga telah dicapai bagi mengatasi masalah kesesakan jalan di Equine Park.

“Berkaitan perumahan Rumah Selangorku yang terbengkalai di Bestari Puchong juga sedang dalam penyelesaian dan pertemuan telah diadakan bersama pemaju baharu,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan pentadbiran masjid dan surau untuk memohon bantuan sumbangan Ihya Ramadan.

“Di DUN Seri Serdang ada 56 masjid dan surau berdaftar dan tumpuan diberikan kepada baik pulih infrastruktur demi keselesaan penduduk.

“Setakat ini, kita terima 25 permohonan untuk bantuan ihya Ramadan dan mana-mana pihak boleh memohon supaya baik pulih masjid serta surau dapat dijalankan,” katanya.


Pengarang :