Pelukis Nurain Fatini Abd Jalil menunjukkan hasil seni beliau pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA 22) di Galeri Shah Alam pada 10 Januari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

52 karya seni kontemporari dipamer di Galeri Shah Alam bermula esok

SHAH ALAM, 27 JAN: Sebanyak 52 karya seni kontemporari dipamer di Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2023 (PTGSA23) yang berlangsung selama sebulan mulai esok.

Pengarahnya Badrul Kahar Mohd Yusof berkata pihaknya menerima 166 penyertaan daripada seluruh negara dan hanya 52 karya seni terpilih untuk dipamer kepada umum.

“Sebanyak empat kategori karya utama diperkenalkan dalam PTGSA23 kali ini iaitu gabungan tema luas, naratif sosiobudaya hingga eksplorasi rohani menerusi pelbagai medium seperti karya 2D dan 3D serta media baru.

“Semua penyertaan yang dipamerkan di Galeri Shah Alam adalah karya seni terkini dihasilkan oleh 52 peserta sepanjang tahun 2023,”,katanya menerusi kenyataan.

Menurut Badrul Kahar, pihaknya mempelawa penggemar seni dan masyarakat umum berkunjung dan melihat sendiri keunikan dan hasil kreatif pengkarya di pameran tersebut.

Menjangkau usia lebih 30 tahun penganjuran, beliau berkata PTGSA berjaya mengetengah bakat karyawan seni visual baharu khususnya pelukis muda dalam membina karier menerusi seni kontemporari.

“Dengan kejayaan ini kita berhasrat untuk mengembangkan lokasi pameran bagi menampung minat dan penyertaan yang berkembang dalam seni kontemporari Malaysia,” ujarnya.


Pengarang :