Wakil rakyat Kajang David Cheong (dua, kanan) bertemu penduduk Taman Seri Reko bagi menyelesaikan masalah pembersihan selepas kerja pembinaan longkang pada 18 Ogos 2023. Foto Facebook David Cheong
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Kajang tumpu bina kemudahan untuk penduduk

OLEH NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 5 JAN: Wakil rakyat Kajang akan meneruskan usaha memperbanyakkan pembinaan kemudahan awam untuk penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, tahun ini.

David Cheong berkata antaranya pembinaan klinik kesihatan awam di beberapa kawasan seperti Bandar Mahkota Cheras, Sungai Sekamat dan Sungai Kantan.

“Beberapa lokasi atau kawasan dikenal pasti sesuai untuk dibangunkan sebuah klinik kesihatan awam yang memudahkan penduduk tidak perlu bergerak jauh daripada kediaman mereka.

“Kita mengambil kira faktor kawasan kampung dan ramai penduduk yang memerlukan kemudahan ini dan perkara ini sedang dibincangkan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, David berkongsi hasil tinjauan ke Hospital Kajang mendapati beberapa jalan berlubang boleh membahayakan keadaan pesakit.

“Kita akan segera menjalankan kerja penurapan bagi menutup jalan berlubang di dalam kawasan hospital.

“Selain itu, saya juga mendapati kemudahan bumbung di Klinik Ortopedik di sini yang menyukarkan pesakit atau penjaga menjalankan urusan ketika waktu hujan dan panas terik,” katanya.

Pada masa sama, David turut memaklumkan pihaknya akan membangunkan sebuah hentian kecil untuk penunggang perkhidmatan p-panggilan di Bandar Mahkota Cheras.

“Hentian kecil itu dapat memudahkan penghantar makanan berehat dan ada tempat berlindung yang selesa sementara menanti tempahan pelanggan,” katanya lagi.

 


Pengarang :