Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat dan mendengar taklimat perkembangan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Kelantan berdekatan Jambatan Lubok Jong pada 28 Disember 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Ahli akademik setuju teguran PM, laporan bulanan atasi projek tertangguh

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Tidak siap mengikut jadual, tertangguh dan sering berlaku ketirisan terutama projek pembangunan melibatkan kepentingan awam bukanlah isu baharu malah sudah berlarutan sehingga membangkitkan kemarahan serta kekecewaan rakyat.

Impaknya begitu besar bukan sahaja menyusahkan rakyat untuk mendapat kemudahan sepatutnya malah memberi kesan peningkatan kos terpaksa ditanggung kerajaan.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah misalnya, pernah mendapat teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu projek tersebut disegerakan berikutan kemajuannya amat perlahan disebabkan isu kontraktor dan campur tangan politik sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

Semalam, isu projek tangguh ini sekali lagi disentuh secara serius oleh Anwar yang juga menteri kewangan semasa Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari 2024.

Berdasarkan laporan audit sebelum ini, banyak projek tidak siap, projek tertangguh serta ketirisan juga berlaku dan satu daripada sebabnya berpunca daripada kurang pemantauan atau pemantauan tidak berkesan, kata pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali.

Justeru, beliau melihat arahan dikeluarkan Perdana Menteri semasa majlis berkenaan supaya Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan ketua jabatan mengemukakan laporan bulanan kemajuan pelaksanaan projek kerajaan menunjukkan keseriusan Kerajaan Madani bagi memastikan setiap sen daripada cukai rakyat digunakan sebaiknya.

Ia secara tidak langsung dapat memastikan kontraktor yang diamanahkan untuk menyiapkan projek kepentingan rakyat dapat disiapkan mengikut masa dan jadual ditetapkan.

Perdana menteri pada majlis itu juga berkata laporan berkenaan perlu dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum dimaklumkan kepada beliau.

Biarpun arahan tersebut merupakan satu menifestasi kesungguhan Anwar dalam memastikan ketelusan dan integriti dalam pembangunan projek berkepentingan rakyat, namun pakar berpandangan adalah lebih baik sekiranya laporan bulanan itu dapat diakses kepada orang awam.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata melalui pendekatan itu membolehkan masyarakat mengetahui perkembangan semasa projek berkenaan.

Pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata dalam menoktahkan isu ini, perdana menteri tidak boleh berseorangan dan kerana itu satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan dengan dianggotai penjawat awam dan pakar yang bukan dalam kerajaan untuk menilai laporan bulanan termasuk memantau pelaksanaan projek kerajaan.

“Masalahnya, sesetengah projek itu peruntukannya memang ada tetapi pelaksanaannya begitu perlahan. Mungkin disebabkan pelaksanaannya hanya dipantau Unit Perancang Ekonomi (EPU) atau kementerian itu sendiri.

“PM (perdana menteri) mahu situasi berubah dan saya berpandangan sukar PM meneliti laporan bulanan tersebut sendiri dan kerana itu ada keperluan mewujudkan jawatankuasa khas ini,” katanya menambah pemantauan itu termasuk projek dalam belanjawan tahunan mahupun Rancangan Malaysia Ke-12.

-BERNAMA


Pengarang :