Graduan Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) menunjukkan sijil tamat pengajian ketika Majlis Konvokesyen Akademi Kepimpinan Wanita kali kedua di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 Oktober 2023. Foto Akademi Kepimpinan Wanita
AGENSISELANGOR

Akademi Kepimpinan Wanita buka permohonan pelajar baharu, kelas bermula April

SHAH ALAM, 3 JAN: Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) membuka permohonan pengambilan pelajar sesi 2024/2025 bagi kemasukan April depan.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata permohonan dibuka sehingga 20 Januari dan setakat ini 71 permohonan diterima.

“AKW kohort 4 bermula sekitar April 2024 bagi tempoh pembelajaran selama 12 bulan. Permohonan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 21 hingga 45 tahun yang lahir atau bermastautin lebih tiga tahun di Selangor.

“Pemohonan perlu berminat dengan kerja kemasyarakatan selain berazam menggilap bakat kepimpinan, pengurusan organisasi, insaniah dan kemahiran politik,” katanya.

Mereka yang berminat boleh melawati laman sesawang https://www.wbselangor.com.my/akademikepimpinanwanita/ untuk maklumat lanjut.

AKW merupakan program tajaan Kerajaan Selangor bagi memantapkan kemahiran wanita dan bertindak sebagai ‘saluran bakat’ ke arah melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di lapangan politik serta keja sosial.

Empat modul utama pembelajaran ialah kemahiran insaniah dan organisasi, kefahaman gender, kepimpinan politik dan ekonomi serta kemahiran komunikasi

Kelas diadakan setiap Rabu selepas waktu bekerja bermula 6 petang hingga 9 malam di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan 248 graduan dilahirkan setakat ini.


Pengarang :