SHAH ALAM, 14 JAN: Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) yang diperkenal pada 2020 bagi memberdaya golongan itu melahirkan 280 graduan setakat ini.
EXCO pemberdayaan wanita dan keluarga berkata graduan menjalani kursus lapangan politik dan kerja sosial selama 15 bulan demi memantapkan lagi kepimpinan mereka.
“Mereka merupakan pelajar dari kohot pertama hingga ketiga dan sekarang sesi baharu untuk kohot ke empat sedang dibuka.
“Menerusi AKW, peserta dapat menimba ilmu dan kemahiran dengan bantuan biasiswa daripada Kerajaan Negeri,” kata Anfaal Safari selepas merasmikan Majlis Imaarah Wanita dan Keluarga Madani di sini hari ini.
AKW merupakan program tajaan Kerajaan Selangor bagi memantapkan kemahiran wanita berusia 21 hingga 45 tahun dan bertindak sebagai ‘saluran bakat’ ke arah melahirkan lebih ramai pemimpin wanita di lapangan politik serta kerja sosial.
Empat modul utama pembelajaran ialah kemahiran insaniah dan organisasi, kefahaman gender, kepimpinan politik dan ekonomi serta kemahiran komunikasi.
Kelas diadakan setiap Rabu selepas waktu bekerja bermula 6 petang hingga 9 malam di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).