Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman melakukan gimik pelepasan peserta berbasikal santai sempena Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di tempat letak kereta hadapan Wisma MBSA Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Aktiviti berkuda, jualan murah jadi tumpuan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan

SHAH ALAM, 14 JAN: Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang membuka tirai tahun ini yang dimeriahkan dengan kehadiran lebih 3,000 pengunjung.

Pemangku datuk bandar berkata program tersebut diterus bagi menggalak gaya hidup sihat masyarakat dengan pelbagai acara yang mana aktiviti berkuda secara percuma mencuri tumpuan hari ini.

“Kita juga memperuntuk RM5,000 untuk anjur Jualan Prihatin MBSA dengan bawa keperluan asas pada harga murah seperti tepung 1kg (RM2.50), beras import 5kg (RM15), minyak masak 2kg (RM10) dan telur satu papan (RM10).

“Ini adalah aspirasi daripada Kerajaan Negeri yang mengadakan jualan murah sekali gus membantu meringankan beban masyarakat,” kata Ir Cheremi Tarman.

Pengunjung menunggang kuda ketika Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di tempat letak kereta hadapan Wisma MBSA Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Berlangsung di depan Wisma MBSA bermula jam 7 pagi, program yang memasuki tahun kelapan juga menyediakan aktiviti kayuhan santai, berjalan santai dan senamrobik.

Turut diserikan aktiviti untuk kanak-kanak seperti mewarna, ‘petting zoo’, ‘parrot brothers’ selain menyediakan perpustakaan bergerak dan pejabat bergerak Shah Alam on Wheels.

Pengunjung mendapatkan barangan murah ketika Jualan Prihatin MBSA ketika Program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di tempat letak kereta hadapan Wisma MBSA Seksyen 14, Shah Alam pada 14 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Cheremi menambah MBSA bercadang memperluas program tersebut dengan menganjurkannya di kawasan lain di bandar raya Shah Alam.

“Kita mempertimbang untuk adakan program antaranya di Elmina, Setia Alam dan Jalan Kebun. Ini bergantung pada kesediaan masyarakat menyertai program ini,” katanya.

Mohd Maskuri Doraji

Pengunjung, Mohd Maskuri Doraji, 40, berkata beliau sanggup memandu dari Tanjung Karang membawa keluarga termasuk ibu untuk mengikuti program tersebut.

“Saya mula sertai program sebelum Covid-19 dan masa itu hanya datang sendiri. Tetapi anak bongsu memaklumkan mahu ikut serta dan sehingga kini saya masih membawanya.

“Alhamdulillah, sehingga hari ini setiap bulan saya pasti meluangkan masa untuk pergi ke program ini kerana di Tanjung Karang hanya diadakan setahun sekali sahaja,” kata penjawat awam itu.


Pengarang :