BUDAYARENCANA

Alkisah Kampung Ishishishroyel

Oleh Afrina Aziz

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Maka dengan ini, Pak Syetenyahu menang!” Laungan bangga itu disambut dengan sorak porak-peranda penduduk kampung. Ada juga yang melutut sembah kepada Pak Syetenyahu tanda bersyukur bahawa akhirnya Pak Syetenyahu menjadi Ketua Kampung Ishroyel. Manakan tidak, bertahun-tahun mereka menanti Pak Syetenyahu menaiki takhta. Bagi mereka, Pak Syetenyahu baik hati dan bestari orangnya.

Pak Syetenyahu pun berapi-api untuk memulakan tugas sebagai ketua kampung. Tersenyum puas nampaknya bila berada di hierarki paling atas Kampung Ishroyel. Pak Syetenyahu berkhayal pada siang hari membayangkan bagaimana dia akan terlihat di mata penduduk kampung-kampung lain sekiranya kampungnya dapat mengikut jejak Kampung Amoroker, iaitu kampung yang sering memenangi perlawanan laga ayam. Bukan itu sahaja, penduduk Kampung Amoroker juga bijak berniaga di aplikasi Omi. Macam-macam gaya perniagaan yang mereka lakukan, tidak kiralah pada waktu siang atau malam. Rajin mereka mencari rezeki. Pak Syetenyahu memang nekad untuk menjadikan penduduk kampungnya begitu. Pasti kelihatan gah dan dihormati.

Dalam sedang membayangkan yang indah-indah sahaja, pintu rumah Pak Syetenyahu diketuk bertalu-talu. Rupanya Galulugedut yang mengetuk pintu rumahnya sambil menangis.

“Apahal ni, Gedut?” Pak Syetenyahu kepanikan. Dalam panik-paniknya itu, matanya masih mampu meliar ke seluruh tubuh badan Galulugedut yang seakan-akan model majalah Avon. Bolehlah, untuk mata bergembira. Katanya dalam hati.

“Pak Syetenyahu mesti tolong saya, pak! Huuu. Mat Kampung Pandan dah ambil tapak niaga saya! Katanya, tapak itu miliknya. Macam mana saya mau berniaga ni, pak? Tolonglah!” Galulugedut merayu sambil melutut di kaki Pak Syetenyahu. 

“Di mana tapak niaga kau, Gedut?” tanya Pak Syetenyahu dengan dahi berkerut seakan-akan ingin pergi membantai Mat Kampung Pandan waktu itu juga.

“Saya… saya niaga di pasar malam Kampung Pandan, pak! Baru mula semalam. Huuu.” Jelas Galulugedut yang dahulunya merupakan tukang urut tetapi kini sudah menukar kerjayanya kepada penjual ubat-ubatan yang aneh-aneh di pasar malam. Masuk kali ini, sudah di lima pasar malam dia mencuba nasib, tetapi semua menghalaunya bagai kucing liar. Alasan mereka, Galulugedut bukannya orang kampung situ dan tiada hak untuk berniaga di situ sama sekali. Sia-sia sahaja Galulugedut memakai baju kebaya sendat ketat padat setiap kali berniaga. Tiada siapa pun yang memberi belas kasihan kepadanya. 

“Cis, tak guna! Beginilah Gedut, malam ini juga aku akan guna kuasa aku sebagai ketua kampung untuk serang Kampung Pandan disebabkan hal ini. Kau jangan risau.” Dalam Pak Syetenyahu melontarkan kata-katanya sebentar tadi, otaknya memvisualisasikan keluasan Kampung Pandan dan jumlah penduduknya yang ramai. Matilah kalau Kampung Ishroyel ingin berentap dengan Kampung Pandan. Itu ibarat menggali kubur sendiri namanya.

“Terima kasih Pak Syetenyahu. Benarlah kata orang, pak memang baik hati. Saya pergi dahulu.” Galulugedut berlalu sambil menyeka air matanya. Pak Syetenyahu memerhatikan gerak-geri Galulugedut dari kejauhan sambil berfikir panjang. 

“Ha! Apa kata aku minta tolong Bang Abidden, ketua kampung Kampung Amoroker! Dia pun sudah berbulu sama Kampung Pandan. Almaklumlah, Alli si ketua kampung tu selalu saja menempelak ketekalan Bang Abidden dalam mengadakan pertandingan dangdut setiap malam minggu!” Pak Syetenyahu mendapat akal dan bergegas ke Kampung Amoroker bagi menyampaikan hajatnya pada Bang Abidden.

“Bang, Bang! Ni saya ni, Syeten! Keluar, Bang. Saya ada hal penting mau bincang sama Bang!” Pak Syetenyahu terpekik-terlolong di luar rumah Bang Abidden.

“Ya, Syeten! Apahal?” Bang Abidden menampilkan batang tubuhnya di pintu rumah sambil membetulkan kain pelikatnya yang berwarna merah dan sedikit biru. 

“Bang! Orang Kampung Pandan sudah melampau. Ada dihalaunya orang kampung saya yang nak berniaga di sana atas alasan orang kampung saya bukannya penduduk kampung mereka. Jadi sekarang, saya mau Bang bantu saya serang Alli dan penduduk kampungnya bagi menuntut keadilan!” Pak Syetenyahu menyinga.

“Tak guna. Sudah aku duga, Alli memang tamak haloba dan suka cari fasal. Tak apa, aku beri kau cangkul, parang dan sabit untuk kau dan penduduk kampung kau serang Alli dan penduduk kampungnya malam ini.” Bang Abidden bengis wajahnya.

“Bang tak ikut kah malam ini?” Tanya Pak Syetenyahu.

“Tidak. Aku harus merasmikan pertandingan dangdut malam ini. Kau pergilah bersama-sama penduduk kampung kau. Aku arahkan juga beberapa orang penduduk kampung aku untuk ikut bersama kau.” Jelas Bang Abidden.

Pak Syetenyahu mengangguk faham. Baginya, mendapat sokongan daripada Bang Abidden sudah cukup bagus. Malam itu juga, Pak Syetenyahu selaku insan paling berkuasa di Kampung Ishroyel mengumpulkan penduduk kampungnya untuk menyerang Alli dan penduduk Kampung Pandan. Penduduk Kampung Amoroker juga turun padang atas arahan Bang Abidden. Semua menampakkan semangat mereka untuk mengamuk pada malam itu. Berani-berani sahaja menghalau Galulugedut, diva Kampung Ishroyel daripada berniaga ubat-ubatannya di pasar malam Kampung Pandan. Itu memang mengundang padah! Mereka berarak dan melaungkan kalimat “Alli dan Kampung Pandan Tak Guna!” sepanjang perjalanan sambil mengangkat cangkul, parang dan sabit. 

Sesampainya di pertengahan jalan, tiba-tiba sahaja lampu jalan terpadam. Semua seperti orang kecabaian kerana mereka seolah-olah jatuh buta dalam keadaan gelap-gelita. Seorang pun tidak membawa lampu suluh mahupun lampu minyak tanah. Mereka ketakutan dan berteriak sambil memegang cangkul, parang dan sabit di tangan.

“Pak Syetenyahu! Macam mana, ni? Gelap! Kami tak nampak, pak!” Kata Maeldunul, salah seorang penduduk Kampung Ishroyel yang badannya agak tegap.

“Tak mengapa, semua ikut sahaja aku. Maeldunul, kau pegang baju aku kuat-kuat dan yang belakang Maeldunul, pegang baju Maeldunul. Begitu juga yang seterusnya. Ingat, malam ini kita mesti berjuang menuntut keadilan buat Galulugedut! Ayuh, semua!” Pak Syetenyahu cuba menenangkan keadaan dengan memberikan kata-kata semangat kepada konco-konconya. 

Perjalanan mereka diteruskan dalam kegelapan yang amat dahsyat dengan Pak Syetenyahu mengetuai barisan paling hadapan. Tak sampai seminit, tiba-tiba, Pak Syetenyahu menjerit terkejut kerana kakinya tersentuh kulit badan biawak yang sedang menuju ke parit. Jeritannya nyaring sekali. Semua turut menjerit selepas mendengar jeritan Pak Syetenyahu dan melepaskan “perisai” masing-masing. Pak Syetenyahu menjadi kelam-kabut lalu terjatuh ke dalam parit berwarna teh tarik. Begitu juga yang lain-lain. Air parit berkocak hebat dek menyambut makhluk pelbagai saiz ke dalamnya. Ada yang terkapai-kapai tak reti berenang, ada yang melalak menangis tersedu-sedu, ada yang meraba-raba permukaan air mencari sesuatu untuk dipaut, malah, ada juga yang tertanggal kain pelikatnya.

Ish ish ish, kasihan Kampung Ishroyel. Tragis sungguh perjalanan “jihad” mereka. Moga-moga selamatlah sampai ke Kampung Pandan untuk menuntut keadilan.


Pengarang :