Orang ramai beratur bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning di Jalan Bukit Kemuning, Shah pada 27 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Anjur jualan murah lebih kerap, bantu penduduk B40 DUN Kota Kemuning

SHAH ALAM, 27 JAN: Wakil rakyat Kota Kemuning berhasrat menganjur Jualan Ehsan Rahmah (JER) lebih kerap bagi membantu penduduk kurang berkemampuan.

Menurut S Preakas, sambutan penduduk juga sangat memberangsangkan di setiap lokasi jualan murah di DUN berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas. Foto Facebook Preakas Sampunathan

“Saya berhasrat membawa JER ke DUN Kota Kemuning sekurang-kurangnya setiap bulan kerana ia amat bagus dan ramai penduduk yang perlu dibantu.

“Di Kota Kemuning, kita kerap juga adakan jualan murah sejak ia mula diperkenalkan. Untuk tahun ini, jualan murah ini adalah kali kedua dijalankan,” katanya.

Terdahulu beliau meluangkan masa bertemu penduduk dan meninjau jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Jalan Bukit Kemuning di sini.

Sementara itu, penyelaras jualan PKPS Mikael Haikal Amir Iskandar berkata pihaknya julung kali membawa produk baharu iaitu kicap istimewa dan lemak manis di JER.

Menurutnya produk bawah jenama Ehsan itu dijual pada harga hanya RM3.50 sebotol dengan berat masing-masing 450gram.

Penyelaras jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Mikael Haikal Amir Iskandar memperkenalkan kicap istimewa dan kicap lemak manis bawah jenama Ehsan di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Bukit Kemuning, Shah Alam pada 27 Januari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Kedua-dua kicap ini pernah dijual tahun lalu namun dihentikan sementara selama beberapa bulan atas pelbagai faktor.

“PKPS mengeluarkan semula produk kicap ini bagi memenuhi permintan serta membantu orang ramai mendapatkan kicap pada harga lebih murah dan berpatutan,” katanya.


Pengarang :