Antara babak dalam filem Imaginur karya sains fiksyen pengarah muda Nik Amir Mustapha yang mengisahkan Zuhal, bermimpi seorang gadis dikenali Nur sebelum bersua di alam realiti. Foto Facebook Film at Lincoln Center
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Aras baharu industri filem negara, mutu pelakon, genre semakin baik

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Pencapaian industri filem negara 2023 cukup membanggakan. Mutu pemain industri termasuk pelakon, genre filem dan kandungan layar dipersembah semakin baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Menyifatkan tahun berkenaan sebagai gelombang baharu filem Malaysia, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata 30 filem tempatan ke pelbagai festival filem antarabangsa dan ada menempa kejayaan dalam kategori dipertanding.

Sebanyak 56 filem tempatan ditayangkan tahun ini dengan kutipan pecah panggung mencecah RM98.8 juta, beritahu Fahmi pada 20 Disember.

Tan Sri Michelle Yeoh berucap ketika menerima trofi pelakon wanita terbaik Anugerah Akademi Ke-95 (Oscar 2023) pada majlis di Dolby Theatre Los Angeles pada 13 Mac 2023. Foto Agensi

Tumpuan terbesar pastinya kejayaan anak Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh meraih Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Akademi ke-95.

Pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Perak dinobatkan pelakon Asia pertama mendapat pengiktirafan itu menerusi watak Evelyn Quan Wang dalam filem ‘Everything Everywhere All At Once’.

Filem ini mengisahkan Evelyn Wang, lakonan Yeoh, sedang bergelut menyelesaikan cukai ketika dia dihanyutkan ke alam semesta alternatif.

Filem Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu menang tiga anugerah antarabangsa, masing-masing satu di Minggu Kritik Festival Filem Cannes ke-62, filem cereka terbaik di Festival Filem Fantastik Antarabangsa Neuchatel ke-22 dan menang anugerah khas penghargaan juri di Festival Filem Antarabangsa Fantasia ke-27.

‘Tiger Stripes’ mengisahkan perjalanan gadis 12 tahun, Zaffan, yang bersikap aneh ketika berdepan usia akil baligh. Dia bergelut dengan perubahan fizikal diri sehingga dipulau masyarakat. Berani melawan rasa takutnya, Zaffan muncul menjadi wanita kuat.

Filem itu akan mewakili Malaysia untuk Anugerah Akademi ke-96 bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik yang dijangka berlangsung pada Mac 2024.

Satu lagi karya mengharumkan nama negara ialah filem Abang Adik arahan Jin Ong. Ia mendapat enam anugerah iaitu tiga di Festival Filem Timur Jauh di Itali, dua di Film De Bourg, di Perancis dan dinobat filem cereka terbaik pada Festival Filem Asia New York ke-22.

Melengkapkan kecemerlangan filem Malaysia, Dain Said yang mengarah filem Harum Malam yang ditayangkan Februari tahun ini, mendapat pengiktirafan pengarah terbaik dalam Festival Filem Antarabangsa Horroant kelapan di Greece.

Imaginur

Filem Imaginur mendapat pujian pengkritik dan penggiat filem tempatan. Dianggap filem terbaik tahun ini, karya sains fiksyen pengarah muda Nik Amir Mustapha menggabungkan tema cinta dan kekeluargaan dengan elemen hinopsis. Sekali gus menjadikan naratif cerita lebih berkesan dan menarik.

Imaginur mengisahkan Zuhal, bermimpi seorang gadis dikenali Nur. Kemudian melalui proses hipnosis, dia tiba-tiba dapat berjumpa wanita itu di alam realiti, menyebabkan keadaan mula berubah.

Semasa Zuhal cuba mengenal pasti wanita misteri itu, dia mula jatuh cinta dan belajar mengenali diri sendiri.

“Saya ulang: Filem terbaik Malaysia yang saya tonton tahun ini” puji Pengarah Urusan Kuman Pictures Amir Muhammad pada 21 Februari terhadap Nik Amir yang juga mengarah filem KIL dan Terbaik dari Langit.

Barisan pelakon dan penerbit menghadiri sidang akhbar di Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023 bagi mempromosi filem Anwar, The Untold Story yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bulan ini. Foto Facebook Anwar The Untold Story

Buat julung kali, kisah perdana menteri difilem dan ditayangkan. Biopik Anwar: The Untold Story arahan pengarah Indonesia Viva Westi mengisahkan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari zaman muda hingga pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Filem Imam hasil adaptasi karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain dengan tajuk sama, turut mewarnai industri filem negara. Namun buah tangan Mior Hashim Manap ini dilihat kurang mendapat reaksi positif walau berusaha mengadaptasinya.

Tahun ini juga menyaksikan semakin banyak penghasilan filem genre patriotik seperti Malbatt: Misi Bakara arahan Adrian Teh. Ia menceritakan perjuangan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja dalam misi menyelamat tentera elit Amerika Syarikat yang diserang di Pasar Bakara di Mogadishu, Somalia.

Selain itu, Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang diarahkan oleh Pit Haniff ditayangkan pada Ogos. Filem itu turut ditayang dalam Festival Filem Far East, Udine, Itali pada 21 April. Ia mengisahkan kehidupan pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim yang mahu memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau.

Pada hari pertunangan, dia, tunang, ibu bapa dan beberapa tetamu diculik sekumpulan penjenayah lalu mendorong satu operasi digerakkan untuk menumpas penjenayah terbabit.

 


Pengarang :