AGENDANASIONAL

Boost Bank, Aeon Bank beroperasi sebagai bank digital mulai 15 Januari

KUALA LUMPUR, 8 JAN: Boost Bank Bhd dan Aeon Bank (M) Bhd telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital berkuat kuasa pada 15 Januari.

Boost Bank dimiliki oleh Konsortium Boost-RHB Digital Bank dengan Boost Holdings Sdn Bhd memegang 60 peratus kepentingan ekuiti dan baki 40 peratus milik RHB Bank Bhd manakala Aeon Bank adalah 50 peratus syarikat sekutu Aeon Credit Service (M) Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, RHB Bank berkata konsortium berkenaan menerima kelulusan yang lebih awal daripada dijadualkan menerusi semakan operasi menyeluruh serta disahkan oleh BNM.

“Ini satu detik bermakna apabila konsortium menjadi bank digital pertama milik Malaysia yang beroperasi dengan aplikasi direka khusus bagi menangani jurang keterangkuman kewangan untuk kalangan yang kurang serta tidak mendapat perkhidmatan (akses perbankan),” katanya.

Menurut RHB, sekiranya berlaku keadaan Boost Bank terpaksa melaksanakan pelan menamatkan operasi di peringkat awal, RHB Bank dan Boost perlu menyediakan dana sewajarnya kepada pegangan dalam Boost Bank.

“Ini bagi memastikan Boost Bank mempunyai dana mencukupi untuk menampung obligasi dan liabiliti yang ada, termasuk deposit pelanggan,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan kepada Bursa Malaysia, Aeon Credit Service mengumumkan kejayaan Aeon Bank mendapat kelulusan daripada bank pusat dan MOF bagi memulakan operasi perbankan digitalnya di negara ini.

“Perkembangan itu sekali gus menjadikan Aeon Bank sebagai bank digital Islam pertama di Malaysia yang mana kelulusan diberikan susulan pengesahan BNM terhadap kesediaan operasi bank berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aeon Bank Raja Teh Maimunah berkata sejajar kedudukan sebagai antara jenama isi rumah runcit paling dikenali di Malaysia, bank itu menyasarkan untuk menyediakan penyelesaian perbankan digital, keterangkuman dan patuh Syariah yang mudah diakses bagi kumpulan pelanggan Aeon serta semua rakyat Malaysia.

Bersempena pelancaran sebagai bank digital, Aeon Bank merancang untuk turut memperkenalkan aplikasi baharunya secara berperingkat dan bermula dengan fasa pengujian beta eksklusif dalam kalangan pekerjanya.

“Aeon Bank menyasarkan untuk melancarkan fasa permulaannya secara berperingkat dalam separuh pertama tahun ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :