AGENDASUKANKINI

CEO persatuan bola sepak, tiga lelaki direman kes rasuah lebih RM6 juta

ALOR SETAR, 5 JAN: Ketua pegawai eksekutif sebuah persatuan bola sepak di utara tanah air antara empat lelaki yang ditahan reman hari ini berkaitan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM6 juta pada 2020.

Turut direman dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak dan seorang individu yang bekerja sendiri.

Perintah tahanan reman selama tiga hari sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut sumber, keempat-empat suspek berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah semalam.

“Berdasarkan siasatan, wang lebih RM6 juta itu telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak dan wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba serta projek mengurus, mengoperasi dan menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri,” katanya.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan keempat-empat lelaki.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.

– BERNAMA


Pengarang :