Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (kiri) menyampaikan watikah pelantikan Datuk Bandar Shah Alam kepada Ir Cheremi Tarman di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 18 Januari 2024. Foto Facebook Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor.
PBTSELANGOR

Cheremi Tarman dilantik datuk bandar Shah Alam

SHAH ALAM, 18 JAN: Ir Cheremi Tarman dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-11 berkuatkuasa hari ini.

Pelantikannya diumumkan menerusi Facebook Setiausaha Kerajaan Negeri, selepas sesi penyerahan watikah pelantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Cheremi, 59, menggantikan penyandang terdahulu Dr Nor Fuad Abdul Hamid yang kini berkhidmat sebagai timbalan ketua setiausaha (pengurusan) di Kementerian Pengangkutan.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Datuk Bandar Shah Alam pada 9 Januari 2023, sebelum memangku jawatan Datuk Bandar Shah Alam bermula 27 Oktober lalu.

Berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Selangor, beliau pernah berkhidmat di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai timbalan yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) antara Ogos 2020 hingga Disember 2022.


Pengarang :