Sebuah kereta terbabas, jatuh ke dalam longkang di Kilometer 42.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat Kota Tinggi pada 7 Januari 2024. Foto Facebook Polis Daerah Kota Tinggi
AGENDANASIONAL

Dua wanita dihanyut arus deras, kereta terbabas jatuh longkang

JOHOR BAHRU, 7 JAN: Dua wanita dihanyutkan arus deras selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu jatuh ke dalam longkang di Kilometer 42.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, dekat Kota Tinggi, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata dalam kejadian 9 pagi tadi, kereta jenis Perodua Myvi dinaiki kedua-dua wanita berusia 37 dan 43 tahun itu dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas ke dalam longkang sebelah kanan menghala ke Kota Tinggi.

“Kedua-dua wanita telah berjaya diselamatkan oleh orang awam apabila kenderaan mereka dihanyutkan oleh arus air yang deras.

“Pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penumpang mengalami cedera ringan dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Hussin berkata kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Siasatan lanjut katanya masih diteruskan bagi memastikan punca sebenar.

“Orang awam dinasihati supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat di Facebook ‘Orang Kota -Tinggi’ menunjukkan sebuah kereta hanyut dibawa arus deras dalam sebuah longkang besar dan kelihatan seorang lelaki terjun menyelamatkan seorang wanita yang sedang berpaut pada kereta itu.

– BERNAMA


Pengarang :