Orang ramai mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (Padu) di kaunter yang disediakan Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia Selangor ketika tinjauan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 4 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Elak tercicir subsidi, rakyat diseru segera daftar sistem pangkalan data

SHAH ALAM, 10 JAN: Individu berumur 18 tahun ke atas terutama ketua isi rumah disaran mendaftar segera dengan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bagi mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.

Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor Hartini Yaacob berkata pengemaskinian maklumat isi rumah itu penting bagi memudahkan penyaluran bantuan yang dirancang kerajaan pada masa akan datang.

“Setakat semalam seramai 857,425 penduduk Malaysia mendaftar dalam sistem dibangunkan kerajaan itu dengan Selangor mencatatkan pendaftaran jumlah tertinggi iaitu seramai 208,910 individu diikuti Johor 91,938 dan Sarawak 79,729.

“Daripada keseluruhan 7.2 penduduk Selangor setakat ini, 4.8 juta daripadanya berumur 18 tahun dan ke atas. Jadi kita galak mereka daftar segera jangan tunggu saat akhir.

“Pendaftaran dan pengemaskinian maklumat boleh dibuat sejak 2 Januari sehingga 31 Mac melalui laman sesawang www.padu.gov.my,” katanya ketika temu bual semalam.

Mengulas lanjut, katanya proses pendaftaran sangat mudah dan hanya mengambil masa kurang 10 minit selain dilengkapi aspek keselamatan tinggi.

“Sistem ini melibatkan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) yang memerlukan anda membuat imbasan muka dan kad pengenalan selain kata laluan satu kali (OTP) bagi pengesahan nombor telefon pengguna untuk keselamatan,” katanya.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang benar-benar layak.

Sistem tersebut dibangunkan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia tanpa membabitkan perunding luar bagi menjamin keselamatan data.

 


Pengarang :