Pegawai Penasihat Dasar kepada EXCO Pembasmian Kemiskinan R Ananthan menghadiri program bertemu penduduk di Ladang Mary, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 8 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO jumpa penduduk Ladang Mary bulan depan, rungkai isu infrastruktur

KUALA SELANGOR, 8 JAN: Pelbagai isu infrastruktur yang didepani penduduk Ladang Mary di sini sejak puluhan tahun lalu akan dibawa ke EXCO pembasmian kemiskinan untuk perbincangan lanjut.

Wakil EXCO R Ananthan berkata pertemuan dijadual berlangsung bulan depan di pusat pentadbiran negeri di Shah Alam dan akan turut disertai Ahli Dewan Negeri Permatang Nurul Syazwani Noh.

Beliau menjelaskan isu dihadapi seperti jalan raya daif, yang turut membabitkan kawasan sekitar Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak hingga mengganggu sesi persekolahan selain banjir lumpur.

“Bulan lalu, pejabat EXCO menerima kunjungan wakil rakyat Permatang berkaitan isu ini dan menunjukkan inisiatif untuk membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

“Susulan itu, EXCO bersetuju untuk mengadakan mesyuarat penyelarasan dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara berhemah dan harmoni,” katanya.

Terdahulu, Ananthan mewakili EXCO menghadiri sesi dialog bersama lebih 50 penduduk yang turut disertai Nurul Syazwani, jawatankuasa penduduk serta wakil pengurusan Ladang Mary.

Sementara itu, wakil penduduk R Murugis,69, berharap isu dihadapi penduduk di kawasan berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan pendekatan berhemah.

“Banyak yang penduduk hadapi termasuk kemalangan sehingga akibatkan kematian berikutan keadaan jalan raya yang berlubang teruk dan gelap,” katanya.


Pengarang :