EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi mendengar taklimat oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat Mokhzani Muhamed dan Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana Negeri Mohd Ikram Rahimi berkenan situasi semasa pengurusan bencana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bangi pada 7 November 2023. Foto aplikasi X Najwan Halimi
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Pantau ramalan cuaca setiap masa, siap siaga amaran bah

SHAH ALAM, 8 JAN: Kerajaan Negeri menerusi agensi berkaitan sentiasa memantau ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai persediaan kemungkinan bah.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata ia bagi memastikan operasi menyelamat mangsa bencana berjalan lancar sekali gus mengelak perkara buruk berlaku sepanjang musim tengkujuh.

“Alhamdulillah setakat ini semuanya baik dan tiada laporan banjir teruk dilaporkan. Cuma tiga minggu lalu kita terpaksa buka dua pusat pemindahan sementara di Kuala Selangor sebab air naik.

“Kita akan berterusan memantau ramalan hujan, banjir supaya dapat bertindak pantas sekali gus mengelakkan keadaan lebih teruk berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Muhammad Helmi Abdullah memaklumkan monsun timur laut yang bermula November lalu dijangka berterusan sehingga Mac depan.

Sebagai persediaan, Kerajaan Negeri menyediakan 10,000 pek bantuan asas merangkumi makanan kering dan keperluan harian bagi menjaga kebajikan semua mangsa.

Pentadbiran turut meminta pasukan bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam menyediakan aset serta memastikannya dalam keadaan baik supaya kerja menyelamat berjalan lancar.


Pengarang :