Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang memantau air pasang besar di kawasan pesisiran pantai di Klang pada 5 November 2021. Foto Bomba Selangor
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang, penduduk diminta berwaspada

SHAH ALAM, 11 JAN: Orang ramai terutama penduduk Klang dinasihat sentiasa berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku mulai hari ini hingga 15 Januari.

Pejabat Daerah dan Tanah Klang memaklumkan bacaan paras air laut di daerah itu dijangka berada pada paras 5.1 meter yang mungkin membawa risiko banjir.

Mengikut info grafik yang dikongsi menerusi Facebook, bacaan paras air laut dijangkakan setinggi 4.6 meter jam 6.17 petang ini.

Agensi itu turut merekodkan bacaan air laut diramal setinggi 4.9 meter jam 6.29 pagi dan 4.8 meter pada jam 7.04 petang esok.

Pada Sabtu pula, bacaan paras air laut adalah 5.0 meter jam 7.12 pagi serta 7.49 petang diikuti bacaan 5.00 meter jam 7.53 pagi dan bacaan 5.1 meter jam 8.31 malam pada Ahad.

Manakala pada 15 Januari (Isnin), paras air laut dijangka setinggi 5.1 meter jam 9.11 malam.

“Fenomena air pasang besar dijangka berlaku di stesen Pelabuhan Klang pada 11 sehingga 15 Januari ini.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua warga Klang untuk sentiasa bersedia dan peka dengan keadaan alam sekeliling,” katanya.

Sebarang kecemasan boleh hubungi Talian Kecemasan Negara di talian 999 dan Pusat Bencana Operasi Daerah Klang di talian 03-33716700 (telefon) atau 010-9731963 (WhatsApp).


Pengarang :