BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Hujah lawan hujah, ulama saran kebebasan wacana pemikiran

Sejauh manakah kebebasan berpandangan dan berwacana intelektual terjamin dalam pemerintahan Islam? Adakah pemerintahan Islam hanya membenarkan kajian dan wacana intelektual yang seiring dengan pegangan Islam ataupun turut membuka ruang kepada pandangan lain meskipun bermasalah dengan perspektif Islam?

Imam Muhammad al-Tahir Ibn ‘Ashur (1879-1973) ialah salah seorang ulama terkemuka pakar pelbagai bidang dari Tunisia abad yang ke-20. Menurutnya, pemikiran bermasalah yang lahir dalam umat Islam mungkin perlu ditekan supaya tidak tersebar hingga menarik minat kelompok yang lalai.

Namun, setelah membuat pertimbangan antara kemaslahatan memelihara pemikiran umat dengan mafsadah atau bahaya terbesar berbentuk penindasan pemikiran, maka beliau memutuskan untuk menghormati pemikiran meskipun yang bermasalah menurut Islam.

Tambahnya lagi, kajian dan kritikan hendaklah menjadi piawaian untuk membezakan antara fikiran buruk dan baik, sementelah kebenaran akan sentiasa menewaskan kebatilan.

Menariknya apabila Ibn ‘Ashur menegaskan bahawa sekiranya kita menindas pemikiran, maka kebatilan akan bercampur dengan kebenaran. Kesannya boleh menyebabkan golongan batil yang ditekan itu mendapat simpati dan sokongan. Hal ini lebih buruk berbanding membiarkan sesuatu pemikiran dibentang kritikan dan hujah terhadapnya.

Kesimpulan Ibn ‘Ashur, menghormati pemikiran dan membiarkan wacana intelektual bergerak lebih baik meskipun terhadap idea-idea yang bermasalah menurut Islam. Apatah lagi kalau dalam kerangka pemikiran Islam meskipun wujud perbezaan.

Inilah juga pendirian pemikir besar dan berpengaruh dari Mesir, Dr Muhammad ‘Imarah (1931-2020). Antaranya ialah hujahnya yang membungkam dakwaan-dakwaan sosok kontroversi, Dr Nasr Hamid Abu Zayd.

Selain debat antara mereka yang masih ada rakamannya di Youtube, Dr Imarah juga mengarang satu buku mengenai idea Abu Zayd berkaitan tafsiran berorientasi Marxisme terhadap Islam.

Kritikan itu dibuat secara sistematik hasil kajian kritikal terhadap seluruh buku dan kertas kerja tulisan Abu Zayd. Bagi beliau, buku lawannya buku, pemikiran lawannya pemikiran, bukannya dilawan dengan pengharaman buku/wacana.

Kebebasan rakyat

Demikian juga pandangan ahli fiqh dan perundangan besar Arab, Muhammad Salim al-‘Awwa (1941-sekarang). Dalam bukunya “al-Haq fi al-Ta’bir”, al-‘Awwa berpendirian bahawa isu-isu pemikiran dan perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan menerusi kritikan yang mendedahkan kepincangan sesuatu kajian.

Sementara itu, seorang ulama besar dan terkenal dalam pelbagai bidang termasuk Usuluddin, fiqh dan tasawuf iaitu Sheikh Dr Said Ramadan al-Buti (1929-2013) menyebut satu fenomena menarik dalam sejarah peradaban Islam.

Dr al-Buti berkata:

“Saya menegaskan bahawa sekiranya ada mana-mana negara Islam berpeluang untuk melaksanakan syariat Allah sebagaimana diperintahkan oleh Allah dan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW, maka negara itu hendaklah memelihara kebebasan rakyat dan memberi tumpuan untuk menjaga kebebasan itu.

Saya telah menyebut banyak dalil tentang hal ini sebelum ini (iaitu dalam buku Yughalitunak Idh Yaqulun). Saya juga telah menjelaskan pendirian pemerintahan Islam terhadap firqah-firqah terpesong yang bertambah banyak pada kurun kedua.

Semua firqah itu terpesong daripada Islam, malah sebahagiannya mungkin tergelincir dalam kekufuran.

Meskipun begitu, pemerintahan Islam tidak mengambil pendirian merampas kebebasan firqah-firqah itu, tidak menghukum sesiapa dalam kalangan pemuka-pemukanya.

Mereka juga tidak menghalang orang ramai daripada mengungkapkan pandangan dan pemikiran mereka. Sebaliknya pemerintahan Islam berpegang dengan satu perkara lain iaitu kebebasan berdialog dan berdiskusi.”

Menyediakan kebebasan intelektual dan akademik tidak bermaksud bersetuju dengan dakwaan dan hujah yang dikemukakan dalam sesuatu buku dan pembentangan.

Perhatikan kenyataan al-Buti yang menyebut tentang firqah-firqah terpesong itu. Itu bukan bererti beliau menyokong keterpesongan, tetapi sedang menekankan kepentingan jaminan kebebasan berkeyakinan dan intelektual oleh pemerintahan Islam.

Al-Buti menyebut dua syarat bagi kebebasan ini, kedua-duanya berkait dengan syarat tidak berselindung di sebalik agenda dari luar negara ataupun dalam negara untuk menjatuhkan atau menebuk atap sesebuah pemerintahan. Jika dikenal pasti agenda itu, maka menurutnya boleh dikekang kebebasan itu.

Boleh juga difikirkan parameter lain, contohnya sesebuah negara boleh mengecualikan masjid dan surau daripada program sebegitu kerana sasaran pendengar dan peserta berbeza.

Program yang sesuai di universiti dan institusi pemikiran tentulah tidak sama dengan program yang dibuat di masjid dan surau yang terlalu luas hadirinnya dan berkemungkinan majoritinya tidak bersedia dengan perbincangan sebegini.

Akhirnya, fiqh kenegaraan kita perlu lebih jelas dalam soal ini kerana mentadbir negara bukan mentadbir persatuan atau organisasi Islam. Apatah lagi banyak negara Islam zaman moden ini secara umumnya menjamin kebebasan intelektual akademik sebegini dalam perlembagaan mereka.

Fiqh kenegaraan dalam Islam bukan sekadar menukilkan secara harfiah pandangan daripada kitab silam, tapi perlu memahami realiti negara moden dan juga konteks tempatan.

Termasuk dalam fiqh ini ialah tentang bagaimana polisi sesebuah pemerintahan Islam terhadap kepelbagaian pemikiran walaupun yang tidak islamik. Artikel ini telah menyelongkar beberapa pandangan relevan, terserah kepada anda sama ada bersetuju atau tidak.

 

* Marwan adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia. Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Selangorkini


Pengarang :