Kakitangan Hospital Hulu Terengganu menaiki jengkaut sebelum dipindahkan ke bot untuk ke hospital selepas jalan utama Ajil-Kuala Berang terputus berikutan banjir pada 27 Disember 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Hujan berterusan di Marang, Terengganu dilanda bah gelombang empat

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Terengganu dilanda banjir gelombang keempat, dengan Marang menjadi daerah pertama terjejas selepas hujan berterusan sejak malam tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), sebanyak 24 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka 11 pagi tadi.

Tiga PPS yang dibuka hari ini ialah di Dewan Sivik Wakaf Tapai, Dewan Orang Ramai Bukit Parit dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang.

Sementara itu, menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air/data-paras-air/?state=TRG, semua stesen sungai di negeri ini mencatat paras normal kecuali Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman yang berada pada paras amaran.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk sehingga esok di daerah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

-BERNAMA


Pengarang :