SHAH ALAM, 4 JAN: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) merekodkan jualan sebanyak 57,587 naskhah pelbagai judul terbitannya sepanjang tahun lepas.
Pengurus jualan dan pemasarannya berkata buku yang paling laris ialah Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal diikuti Gelagat & Ragam Orang Melayu; Memelihara Jiwa: Petua Dari Tabib Kurun Ke -6; Imam Al Ghazali: Hayat & Jasa Ilmuwan Ulung serta Penyelamat Dari Kesesatan.
Maklum beliau, antara yang turut mendapat permintaan tinggi ialah Salahuddin Al Ayubi: Raja Penakluk; Ilmu Kalam: Tegahan Buat Orang Awam; Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik; Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad serta Tanpa Ampun Tiga Tahun Diburu Jepun Di Rimba Malaya.
“Semua buku ini antara yang menjadi pilihan dan mempunyai permintaan tinggi. Terdapat beberapa buku yang kini stok makin berkurang dan akan dicetak semula untuk memenuhi permintaan pembaca,” kata Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman kepada Selangorkini,
Ainunl berkata semua karya tersebut boleh didapati di kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com.
IBDE menerima geran daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan kegiatan penterjemahan buku pelbagai genre antaranya agama, sejarah dan falsafah.