Mangsa simbah asid Nadia Fasha Qistina Azman Shah ketika ditemui Media Selangor di kediaman beliau di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ibu mangsa simbah asid harap anak jalani pembedahan, kembali hidup normal

PETALING JAYA, 29 JAN: Ibu mangsa simbah asid, Nadia Fasha Qistina Azman Shah, 20, berharap ada pihak tampil membantu anaknya menjalani pembedahan kosmetik.

Noraini Abdul Hamid, 40, berkata pembedahan itu akan membantu anak sulungnya menjalani kehidupan normal seperti sebelum insiden hitam menimpa mereka sekeluarga.

“Kunjungan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan wakil rakyat amat bermakna buat kami sekeluarga.


Noraini Abdul Hamid, 40, ditemui Media Selangor di kediaman beliau di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Cuma saya harap ada bantuan kosmetik daripada mana-mana pihak kerana ia sangat bermakna buat Nadia. Buat masa ini, luka akibat disimbah asid yang mencederakan 70 peratus anggota badan dan muka anak saya belum kering sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Izuan Kasim mewakili MBI menyerahkan sumbangan wang tunai kepada bapa mangsa, Azman Shah Mohammad di kediamannya di Kota Damansara.

Menerusi sumbangan bencana hari ini, MBI turut menyerahkan wang tunai kepada mangsa pokok tumbang dan kebakaran yang keseluruhannya bernilai RM13,000.

Pada 8 November lalu, Nadia Fasha Qistina disimbah asid seorang lelaki menyamar pekerja e-hailing sebelum suspek melarikan diri.

Kejadian berlaku ketika mangsa pulang dari tempat kerja di sebuah klinik di lokasi kejadian dan mengakibatkannya parah muka, badan serta kaki sehingga terpaksa menjalani lapan kali pembedahan.

ADN Kota Damansara Izuan Ahmad Kasim menyampaikan sumbangan kepada bapa mangsa simbah asid Azman Shah Mohammad berjumlah RM5,000 sambil disaksikan Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 29 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, mangsa kejadian pokok tumbang, Arnie Shazleen Azibi, 24, turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri menyumbang wang tunai yang meringankan bebannya sekeluarga.

“Ketika kejadian jam 3 pagi, saya dan keluarga tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Kuala Kubu Bharu. Sejurus menerima panggilan, awal pagi kami terus bergerak pulang.

“Alhamdulillah, dengan sumbangan RM1,000 yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban kerana kos baiki kereta juga lebih RM2,000,” ujarnya.


Pengarang :