Petugas Infrasel giat melaksanakan kerja membaik pulih permukaan laluan B55 Jalan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 29 Disember 2023. Foto X Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel: Kerja baik pulih Jalan Sungai Air tawar siap 77 peratus

SHAH ALAM, 2 JAN: Kerja membaik pulih permukaan jalan di daerah Sabak Bernam siap 77 peratus setakat 29 Disember lalu, maklum Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Syarikat penyelenggara jalan negeri berkata kerja baik pulih laluan B55 Jalan Sungai Air Tawar dilaksanakan sejak 22 Disember.

“Infrasel giat melaksanakan kerja membaik pulih permukaan laluan B55 Jalan Sungai Air Tawar, Seksyen 2.50 – 3.30 dan 3.80 – 4.50 di Sabak Bernam,” katanya di Facebook.

Pada 22 Ogos lalu, Eksekutif Operasi Infrasel Abdullah Hanif Abd Ghalib memaklumkan pelaksanaan 93 projek baik pulih jalan secara besar-besaran di seluruh negeri sudah mencapai 86 peratus.

Katanya pembaikan jalan menerusi Projek Turapan Mega dengan kos RM50 juta memberi keutamaan jalan yang perlu dibaiki turut mengambil kira aduan orang awam.

Pada 9 Julai, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan projek turapan melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pejabat daerah dan tanah (PDT).

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (8).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek berskala besar dengan dana RM50 juta bagi memastikan jalan raya negeri berada dalam keadaan baik.


Pengarang :