Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Jabatan Perangkaan buka kaunter bantu orang ramai daftar pangkalan data

SHAH ALAM – Jabatan Perangkaan Selangor membuka kaunter di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan orang ramai mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

Pengarahnya berkata kaunter 21 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dibuka sehingga 14 Januari meliputi sembilan daerah manakala Bangunan Darul Ehsan dan Lotus Rawang dan lokasi lain hingga 31 Mac.

Hartini Yaacob menambah perkhidmatan itu disediakan berikutan ada golongan memerlukan bantuan untuk mengemas kini maklumat meskipun pangkalan data tersebut boleh diakses secara digital.

“Bagi penduduk luar bandar terutama warga emas, mereka perlu dibantu. Jadi, kami buka kaunter bergerak dengan penggiliran di pelbagai lokasi bagi membantu mereka,” katanya.

Pendaftaran tersebut bertujuan mengemas kini maklumat dalam sistem berpusat bagi memudahkan isi rumah yang layak menerima subsidi bersasar tanpa sebarang keciciran bantuan kerajaan.

Hartini Yaacob, pengarah Jabatan Perangkaan Selangor

Menjelaskan orang ramai juga boleh menggunakan kemudahan 48 PEDi di seluruh negeri, Hartini berkata pihaknya juga bekerjasama dengan pihak yang ada hubungan langsung dengan masyarakat.

“Ini termasuk pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri, ketua kampung, Tok Batin di perkampungan Orang Asli dan banyak lagi untuk memudahkan bertemu masyarakat,” katanya.

Sistem Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari merupakan pangkalan data mengandungi profil penduduk yang membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar.

Tujuannya adalah untuk meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber terutama pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan yang lebih bersasar kepada rakyat yang benar-benar layak.

Ia juga sebagai sumber rujukan berpusat dalam membantu Kerajaan membuat keputusan berpandukan data dan memastikan mereka yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan atau perlindungan sosial.


Pengarang :