Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dalam Operasi Khas Aidiladha Siri 2/2023 di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 2 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

JPJ tambah alat peranti, perbaiki penguatkuasaan digital

IPOH, 10 JAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah peralatan Peranti Penguatkuasaan Pengurusan Pintar (SmED) di seluruh negara tahun ini, bagi tujuan menambah baik sistem penguatkuasaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Aedy Fadly Ramli berkata proses itu akan dilaksanakan secara berperingkat, sebagai menyokong inisiatif pendigitalan terutama melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

“Dari segi penguatkuasaan, memang akan ditambah baik dari semasa ke semasa. Kita sudah membuat persediaan untuk menambah peralatan baharu untuk penguatkuasaan.

“Contohnya kalau melibatkan pemeriksaan lesen, di peringkat JPJ kita gunakan SMeD untuk menyemak maklumat secara dalam talian, jadi kita akan ganti peralatan-peralatan lama ini dan beli yang baharu,” katanya selepas lawatan bagi meninjau pelaksanaan cetakan fizikal slip pembaharuan LMM di Pejabat JPJ di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata penggunaan slip pembaharuan LMM telah dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Perak, Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Selangor.

Beliau berkata slip pembaharuan LMM hanya melibatkan urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) sahaja.

“Hasil tinjauan pelaksanaan slip pembaharuan LMM pada hari ini juga mendapati cetakan di kaunter JPJ berjalan lancar dan orang awam yang memilih fizikal LMM, sudah mula menerima slip tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata berdasarkan kajian dan analisa statistik sepanjang tahun lepas, JPJ mendapati bilangan pemandu dan pemilik yang memilih sistem digitalisasi semakin meningkat.

“JPJ juga sentiasa menghargai sokongan daripada pelbagai pihak dalam pelaksanaan pendigitalan. Saya menyeru supaya masyarakat bersama-sama kami untuk menjayakan pendigitalan JPJ,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :