Lebih 100 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di Little India, Brickfields pada 1 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Juruwang warga Bangladesh antara lima ditahan miliki pasport pelbagai negara

JOHOR BAHRU, 4 JAN: Seorang juruwang lelaki warga Bangladesh antara lima warga asing ditahan Jabatan Imigresen dipercayai memiliki pasport antarabangsa pelbagai negara dalam serbuan di sebuah premis di Taman Abad, malam tadi.

Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata serbuan pada 9.10 malam itu turut menahan dua lelaki warganegara sama dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 22 hingga 45 tahun, yang juga bekerja di premis sama.

Beliau berkata pihaknya menjumpai enam pasport antarabangsa Bangladesh dan India yang disimpan di dalam laci sebuah bilik.

“Dua wanita Indonesia ditahan mengikut 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala dua lagi lelaki warga Bangladesh ditahan mengikut Peraturan 17(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dikeluarkan.

“Juruwang warga Bangladesh itu pula ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), bagi kesalahan memberi kebenaran warga asing berada di dalam premis serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150).

Dalam kes berasingan, Baharuddin berkata pihaknya menahan tiga wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Thailand dipercayai bekerja tanpa permit sah dalam Ops Gegar di sebuah premis pusat urutan refleksologi di Endau, Mersing malam tadi.

Beliau berkata kesemua wanita berusia 27 hingga 34 tahun itu didapati menyalahgunakan syarat pas yang telah ditetapkan dan disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Penahanan dilakukan susulan aduan awam berkaitan beberapa warga asing melakukan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di negeri ini,” katanya.

Menurut Baharuddin pihaknya turut merampas sembilan kondom, dua tuala, dua botol minyak urut dan buku rekod pelanggan.

“Orang ramai dan majikan di negeri ini diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing termasuk mengambil pendatang asing untuk bekerja dan sekiranya ia berlaku, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :