Sukarelawan Team Selangor membantu mengalihkan perabot penduduk yang rosak akibat banjir di Kampung Ijok pada 23 Disember 2021. Foto TEAM SELANGOR
AGENSISELANGOR

Kedudukan rendah punca banjir termenung kerap landa Kampung Batu 7, Ijok

SHAH ALAM, 2 JAN: Kedudukan topografi Kampung Batu 7, Ijok, Kuala Selangor yang berada di kawasan rendah merupakan faktor utama kejadian banjir termenung kerap berlaku.

Jurutera Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Kuala Selangor berkata selain itu, aliran air dari penempatan berhampiran ke kampung berkenaan turut menyumbang kepada pengumpulan air.

Menurut Syaiful Mizan Zamiyan, perkara tersebut berlaku berikutan pintu air yang menghubungkan laluan air untuk ke sungai terletak di Jalan Kunci Air di Kampung Batu 7.

“Apabila berlaku hujan lebat di bahagian hulu lembangan Sungai Buloh (dalam daerah Petaling dan Gombak), aras sungai di Kampung Batu 7 akan tinggi melebihi paras air parit kampung.

“Dalam keadaan ini, pintu air perlu ditutup bagi mengelak air sungai memasuki kampung. Keadaan aras air sungai tinggi akan berlarutan sehingga tiga hari.

“Sekiranya hujan berulang di hulu sungai, tempoh pintu air ditutup akan lebih lama,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Bagi mengurangkan risiko kepada penduduk, Syaiful menambah, JPS Kuala Selangor menempatkan tiga hingga lima pam bergerak untuk mengeluarkan air banjir.

Jelasnya, JPS sentiasa melaksana kerja penyelenggaraan parit menggunakan jentera setiap tahun antara September hingga Disember selain menebas rumput tiga kali setahun.

Menurut Syaiful, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh bernilai RM50 juta juga sedang berjalan dan dijadual siap April tahun depan.

“Ia membabitkan kerja menaik taraf benteng sungai, membina pam kekal, pengorekan sungai, struktur keluar air ke sungai, kuarters operator dan pembinaan jambatan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,500 penduduk Kampung Batu 7 dilaporkan sudah tidak tahan menanggung banjir termenung yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Penduduk mendakwa tertekan dan sudah muak berdepan banjir yang dianggap ‘acara wajib’, selain terpaksa menanggung kerugian besar akibat kerosakan tanaman dan barangan rumah.


Pengarang :