Para peserta daripada 20 sekolah seluruh negeri bergambar kenangan selepas menyertai Kem Kepimpinan Belia Islam Selangor (Soul) 2024 di Institut Pemberdayaan Ummah Selangor, Sabak Bernam pada 28 Januari 2024. Foto ihsan Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan
AGENSISELANGOR

Kem belia gilap sifat kepimpinan, pupuk jati diri pelajar sekolah

SHAH ALAM, 29 JAN: Seramai 146 peserta daripada 20 sekolah seluruh negeri menyertai Kem Kepimpinan Belia Islam Selangor (Soul) 2024 di Institut Pemberdayaan Ummah Selangor, Sabak Bernam semalam.

Program kendalian Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) bagi memantapkan jati diri peserta melalui pembangunan jiwa dengan menumpukan penerapan nilai kepimpinan Islam.

Menerusi kenyataan, persatuan itu memaklumkan program tersebut juga bagi menggilap sifat kepimpinan pada usia muda, sekali gus mempersiap mereka lebih awal dalam urusan pentadbiran.

“Melalui latihan dan pendidikan awal, Pepias berhasrat Selangor tidak mengalami ketandusan kualiti kepimpinan hingga mengakibatkan kerugian kepada negara disebabkan sifat pemimpin yang bobrok.

“Oleh itu, ia harus dicungkil dan digilap pada usia muda agar belia yang merupakan pewaris legasi kepimpinan negara dapat disediakan dengan lebih awal,” kata persatuan itu.

Melibatkan pelbagai jenis sekolah seperti sekolah menengah kebangsaan dan sekolah berasrama penuh integrasi, peserta terdiri dalam kalangan jawatan badan kepimpinan antaranya pengawas.

Kem berkenaan turut mendapat sokongan Tabung Infaq Amal Jariah Umat Islam Selangor, Jabatan Belia dan Sukan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor.

 


Pengarang :