Suasana di puncak Bukit Malawati, Kuala Selangor ketika tinjauan pada 9 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kenderaan ringan dibenar naik ke Bukit Malawati mulai hari ini

SHAH ALAM, 2 JAN: Bermula hari ini, kenderaan ringan seperti van, kereta dan motosikal dibenarkan masuk ke Bukit Malawati, Kuala Selangor untuk lawatan pada hari bekerja.

Arahan terbaharu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berikutan perkhidmatan trem sedia ada hanya beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum dari 9 pagi hingga 6 petang.

“Kebenaran ini tertakluk kepada perubahan dan bergantung kepada keperluan semasa,” maklum pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di Facebook rasminya, baru-baru ini.

Menurut MPKS, trem juga akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat sepanjang cuti persekolahan bermula 9 pagi hingga 4 petang untuk kegunaan orang ramai.

Bukit Malawati menyimpan pelbagai sejarah dengan 1,001 kisah seperti Makam Sultan, batu hampar, pusara Panglima Hitam dan busut Malawati.

Selain itu, terdapat telaga tujuh, telaga beracun, tangga seratus, padang silat, meriam serta gua simpanan harta istana seperti keris, lembing dan barang berharga.


Pengarang :