Kerja pemasangan cerucuk giat dijalankan di kawasan tanah runtuh dekat Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong pada 3 Januari 2024. Foto MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Kerja kukuh tanah, pasang cerucuk di Taman Wawasan dijangka siap 8 Januari

SHAH ALAM, 3 JAN: Kerja pemasangan cerucuk di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, Puchong dijangka selesai sepenuhnya pada 8 Januari depan.

Datuk bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata sebanyak 200 cerucuk dipasang untuk fasa kedua di sepanjang jajaran kiri dan kanan longkang kawasan tersebut.

“Fasa pertama merupakan proses pengukuhan tanah di kawasan perumahan selesai pada 30 Disember lalu dengan memasang sebanyak 375 cerucuk di kawasan hadapan rumah dan bahagian hadapan longkang.

“Kini pemasangan cerucuk fasa kedua untuk proses pengalihan air sementara di kawasan longkang yang rosak dan runtuh telah melebihi 50 peratus dengan memasang 200 cerucuk,” kata Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim kepada Selangorkini hari ini.

Sebelum ini, beliau memaklumkan kerja pemasangan cerucuk dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan bagi menstabilkan tanah selain mengelak runtuhan baharu berlaku.

Katanya, cerucuk dipasang sebagai tindakan awalan dan segera bagi menahan runtuhan berikutnya berlaku sebelum kerja untuk memulihkan cerun yang telah runtuh dijalankan.

Pada 16 Disember, seramai 29 penghuni di sembilan rumah teres kawasan berkenaan diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 kira-kira 7.30 malam turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Petugas Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong pada 20 Disember 2023. Foto Facebook Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia

Pengarang :