Penang Port Sdn Bhd (PPSB) syarikat pengendali perkhidmatan feri baharu di Pulau Pinang mengenakan bayaran kepada penumpang mulai 7 September 2023 antara RM1 hingga RM2.50 bagi sehala. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Khidmat feri 24 jam, bas percuma di Pulau Pinang sempena Thaipusam

BUTTERWORTH, 16 JAN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) menawarkan perkhidmatan feri percuma bermula 12.01 tengah malam 24 Januari hingga 2 pagi 26 Januari bagi memudahkan perjalanan penganut agama Hindu ketika meraikan sambutan perayaan Thaipusam.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penggunaan perkhidmatan feri, yang buat kali pertama akan beroperasi 24 jam, diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sebelah pulau.

“Selepas penumpang feri tiba di terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda, ada bas Rapid Penang yang turut memberikan perkhidmatan percuma kepada mereka.

“Bas ini akan berhenti di tempat mereka sembahyang dengan destinasi akhir di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata waktu operasi Bas Rapid Penang secara percuma adalah dari 2 petang hingga 1 pagi 24 dan 25 Januari, dari 5.30 pagi hingga 1 pagi keesokannya.

Loke berharap usaha itu dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam khususnya pada musim perayaan.

– BERNAMA


Pengarang :