Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam pada sidang media berhubung pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris di ibu pejabat KPDN, Putrajaya pada 7 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Kilang proses ubat batuk tiruan diserbu, wanita ditahan

PUTRAJAYA, 6 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kilang memproses ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan dan menahan wanita berusia 38 tahun yang disyaki bertanggungjawab mengendalikan premis berkenaan.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata dalam serbuan bersepadu itu, 10,000 botol ubat batuk siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk tujuan memproses ubat batuk itu dirampas.

“Semua bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM236,516,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata operasi bersepadu pada 15 Disember itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) susulan aduan diterima serta risikan awal oleh KKM selama tiga bulan sebelum serbuan.

Azman berkata selain itu, dua bangunan industri atau kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan ubat batuk tiruan itu turut disita dengan nilai anggaran keseluruhan RM2.6 juta.

“Susulan serbuan itu, 56 akaun turut dibekukan melibatkan sembilan entiti dengan empat daripadanya merupakan akaun syarikat, manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhan berjumlah RM10.68 juta.

Azman berkata syarikat itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram, manakala wanita itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

KKM juga, katanya akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366] yang mengenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :