Eksperimen sosial sebagai pengemis yang dilakukan wartawan Bernama di kawasan tumpuan pelancong di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada 12 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kutip derma sekolah tahfiz, pengemis warga asing raih RM10,000 sebulan

JOHOR BAHRU, 31 JAN: Memberikan alasan mengutip derma untuk membiayai sekolah tahfiz dan institusi keagamaan, pengemis warga asing mampu meraih “pendapatan” mencecah RM10,000 sebulan.

Perkara itu terbongkar dengan penahanan tiga lelaki warga Kemboja dan dua lelaki warga Thailand dalam satu operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor di sekitar pasar malam di Iskandar Puteri semalam.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata dalam operasi kira-kira pukul 6.30 petang itu, kelima-lima warga asing terbabit ditahan kerana mengutip derma dengan alasan membiayai sekolah tahfiz serta institusi keagamaan bagi meraih simpati.

“Ada dalam kalangan mereka yang cacat anggota. Mereka ini mampu meraih pendapatan mencecah RM300 sehari atau RM10,000 sebulan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata turut ditahan seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang membuka gerai di pasar malam berkenaan, dengan kesemua yang ditahan berumur antara 34 hingga 63 tahun.

Baharuddin berkata kesemua mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, sebanyak 40 warga asing dipercayai bekerja tanpa permit yang sah dan tinggal lebih masa di Malaysia, ditahan dalam satu operasi di sekitar negeri ini, pada Isnin lepas (29 Jan) dan semalam, kata Baharuddin.

Katanya, serbuan terhadap 44 premis itu susulan aduan awam yang mendakwa terdapat warga asing dipercayai bekerja tanpa pas atau permit kerja yang sah.

“Sebanyak 353 individu telah diperiksa dalam operasi berkenaan, 40 daripadanya telah ditahan melibatkan sembilan lelaki warga Nepal, lima lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia, serta 15 lelaki dan empat wanita warga Myanmar.

“Turut ditahan dua lelaki dan seorang wanita warga India serta seorang lelaki warga Kemboja. Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 21 hingga 49 tahun,” katanya.

Menurut Baharuddin, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, selain 10 notis hadir ke pejabat (Imigresen) dikeluarkan kepada individu dalam operasi terbabit bagi membantu siasatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :