Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyerahkan Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 19 Januari 2024. Foto Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam
AGENDANASIONAL

Laporan kajian sistem saraan perkhidmatan awam diserah kepada Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 20 JAN: Laporan Interim 1 Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 1/2024.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam hantaran Facebook, laporan itu diserahkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Mengenai mesyuarat berkenaan, JPA memaklumkan fokus utama ialah terhadap pelbagai inisiatif yang dapat menyumbang ke arah meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober lalu dilaporkan mengumumkan pelaksanaan penuh SSPA akan dibuat bermula 2025.

Sehubungan itu, kajian berhubung SSPA akan dijalankan secara menyeluruh, yang memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

Kajian SSPA yang turut menumpukan kepada aspek kenaikan gaji dan elaun sektor awam itu dijangka mengambil masa hampir dua tahun dan merupakan inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia Madani.

– BERNAMA

 


Pengarang :