Peniaga cendol, Siti Syuhada Johari, 31, mendaftar dan mengakses Pangkalan Data Utama (PADU) pada 3 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lebih 450,000 pengguna daftar sistem pangkalan data kerajaan

SHAH ALAM, 4 JAN: Seramai 456,136 pengguna berdaftar dengan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang dibangunkan kerajaan setakat 9 pagi ini, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau menjelaskan seramai 230,443 pengguna juga melaksanakan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), dengan 61 peratus selesai membuat pengesahan.

Dalam kenyataan di Twitter, beliau berkata proses berkenaan dibuat dalam tempoh kurang lima minit dan individu bercermin mata tidak berdepan masalah untuk membuat e-KYC.

“Pengguna perlu mengemas kini sistem pengoperasian telefon masing-masing dengan versi terkini, mengosongkan cache serta memastikan pelayar (browser) tidak berada dalam tetapan peribadi.

‘Sekiranya pengguna masih menghadapi masalah berkaitan e-KYC, pengguna boleh hadir ke kaunter Padu yang terdekat dengan merujuk pautan http://padu.gov.my/hubungi/lokasi,” tulisnya di platform itu.

Dalam pada itu, Rafizi berkata setiap maklumat yang diperakukan tidak boleh dipinda kecuali dengan membuat pelaporan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam.

Mengulas kemas kini variabel pendapatan bagi penganggur, jelasnya, pengguna boleh memasukkan jumlah bantuan diterima sama ada daripada agensi kerajaan atau keluarga bagi menampung kehidupan.

Pada 2 Januari lalu, perdana menteri melancarkan sistem berkenaan selaras pendekatan transformasi digital negara dengan jaminan setiap kemudahan kerajaan akan dinikmati penerima yang berhak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan usaha itu juga dapat memastikan setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielak menerusi sistem yang lebih canggih.


Pengarang :