Petugas melakukan penyemburan asap (fogging) bagi mencegah pembiakan jentik-jentik dan nyamuk Aedes ketika tinjauan keadaan di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih RM18 juta kompaun dikeluar tahun lalu bagi cegah demam denggi

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Sejumlah 36,426 kompaun bernilai lebih RM18 juta dikeluarkan sepanjang tahun lalu hasil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata dalam tempoh sama, 4,264 kes didaftarkan untuk tindakan mahkamah dengan 911 kes disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM2,349,950.

“Untuk tempoh Disember sahaja, 2,470 kompaun bernilai RM1.2 juta dikeluarkan dengan purata RM500 setiap kompaun. Sejumlah 426 kes juga didaftar untuk tindakan mahkamah dan 48 kes disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM188,550,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan. Foto BERNAMA

Sementara itu, katanya melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, 112,455 notis kesalahan dikeluarkan sepanjang tahun lalu hasil lawatan ke 246,982 premis.

Sebanyak 63,039 kompaun ditawarkan dengan nilai tawaran lebih RM16 juta, katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, 104,925 premis makanan diperiksa dengan 2,242 premis daripadanya diperintah tutup sementara.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 sebagai langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.

Beliau berkata kementerian sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat di negara ini termasuk mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.

– BERNAMA


Pengarang :