Keadaan sampah yang bertaburan di bahu jalan pada malam sambutan tahun baharu di Kuala Lumpur pada 1 Januari 2024. Foto Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
AGENDANASIONAL

Lebih tiga tan sampah dikutip malam sambutan tahun baharu

SHAH ALAM, 3 JAN: Sebanyak 3.06 tan sampah dikutip di sekitar Kuala Lumpur selepas sambutan ambang tahun baharu 2024 Isnin lalu, kata pengurus kawasan operasi (utara) Alam Flora.

Menasihatkan masyarakat supaya mengubah gaya hidup lebih bersih, Anuar Mohd Shah berkata jumlah itu meningkat berbanding 2.98 tan sampah dalam sambutan sama tahun lalu, lapor Harian Metro.

Beliau memaklumkan syarikat itu juga mengutip sejumlah 700,000 tan sampah di seluruh ibu negara sepanjang tahun lalu, meningkat empat peratus berbanding 2022.

“Jumlah ini bersamaan 1,900 hingga 2,000 tan sampah sehari,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

“Masyarakat juga tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada agensi pelaksana semata-mata, mereka perlu mencari inisiatif sendiri demi kebersihan bersama.”

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kesal apabila beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai sambutan tahun baharu dicemari sampah.

Menurut hantaran di Facebook rasminya, situasi sama dihadapi saban tahun susulan sikap dan pemikiran segelintir warga kota yang masih di takuk lama apabila membuang sampah sesuka hati.


Pengarang :