AGENDAJENAYAH

Lelaki ditemukan maut dalam kebun durian, dua rakan ditahan

KUANTAN, 21 JAN: Lelaki warganegara Myanmar ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada beberapa anggota badan di dalam kebun durian di Jalan Air Terjun Chamang, Bentong semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 29 tahun dan bekerja di kebun durian itu, pada 5 pagi.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan dua lelaki yang merupakan rakan senegara mangsa iaitu seorang berusia 26 tahun di kawasan kebun durian terbabit manakala seorang lagi berusia 31 tahun ditangkap ketika cuba melarikan diri di lokasi berhampiran, bagi membantu siasatan.

“Mereka juga bekerja di kebun durian dan pemeriksaan mendapati seorang daripada lelaki ditahan mempunyai beberapa kesan kecederaan dipercayai akibat pergelutan.

“Polis turut merampas sebilah parang dan pisau dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.

Zaiham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong ASP Faizal Abdullah menerusi talian 012-4834439 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA


Pengarang :