Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ditemui pada Perhimpunan Khas Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh pada 25 Ogos 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Lelaki rugi lebih RM1.6 juta akibat pelaburan kripto tidak wujud

IPOH, 20 JAN: Jururunding mengalami kerugian RM1.65 juta akibat membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform ‘Unobitex’ yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 37 tahun berasal dari Taman Perak di sini, semalam.

Beliau berkata mangsa membuat aduan mengenai satu kes tipu pelaburan tidak wujud apabila suspek memperdayanya melalui laman media sosial Facebook dan aplikasi Telegram untuk membuat pelaburan mata wang kripto menggunakan platform berkenaan.

Katanya, siasatan polis mendapati pada awal September 2023, ketika mangsa berada di rumahnya, beliau diperkenalkan rakan dikenali melalui Facebook untuk membuat pelaburan dalam pasaran unit mata wang kripto melalui platform Unobitex.

“Sejak 12 September 2023, mangsa memasukkan dana 44 kali ke dalam pelbagai akaun bank berbeza berjumlah RM1,651,585 (RM1.65 juta).

“Namun, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan pelaburan, suspek meminta mangsa membuat bayaran cukai negara Arab Saudi, barulah mangsa sedar beliau ditipu suspek,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Mohd Yusri memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan Bank Negara atau Suruhanjaya Sekuriti.

Beliau berkata orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.

“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :